Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri.

KUALA LUMPUR – Pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya yang sengaja melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United FC pada 10 Mac lalu bagi mendapatkan sepakan penalti.

FAM dalam satu kenyataan berkata, pengadil perlawanan, Mohd. Fairuzi Mat Desa didapati membuat kesilapan apabila gagal mengesan tindakan Ahmad Khairil Anuar atau Beto dan tetap dengan keputusannya untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan PJ City FC.

Jelas badan itu, Mohd Fairuzi telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta.

“Beliau akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah dan hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.

“Sementara itu, pemain Melaka United FC, Alex dos Santos Goncalves akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya yang sengaja membaling bola ke arah Mohd Fairuzi selepas meraikan gol kedua Melaka United FC pada penghujung perlawanan,” katanya kenyataan itu.

Perlawanan  PJ City FC dan Melaka United FC  berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dalam saingan Liga Super.

Sementara itu, FAM turut mendapati pengadil perlawanan Kelantan FC dan Perak II, Mohd. Amirul Aizat Mohd Lodin telah berada di kedudukan yang salah di dalam kotak penalti sehingga menyebabkan beliau ditolak oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

Tambah FAM, biarpun secara keseluruhan prestasi Mohd. Amirul Aizat sepanjang perlawanan tersebut adalah memuaskan berdasarkan laporan daripada Penilai Pengadil, pengadil berkenaan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed.

“Beliau akan mengikuti program penambahbaikan bagi memperbaiki keupayaan jangkaan permainan, posisi dan pergerakkan dalam permainan dan hanya akan diberi lantikan semula untuk mengadili perlawanan akan datang selepas selesai program penambahabaikan dan penilaian dibuat terhadapnya.

“Sementara itu, Jack Hindle akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya menolak pengadil secara agresif,” katanya. – MalaysiaGazette