Seorang lelaki dua dari kanan) yang diberkas selepas tular videonya dikejar polis di Kampung New Zealand mengaku bersalah atas empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Maran, Pahang hari ini.

MARAN – Seorang lelaki yang berjaya diberkas selepas tular videonya dikejar polis di Kampung New Zealand mengaku bersalah atas empat pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Asyraf Haniff Ramlee mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.21gram di dalam kereta jenis Honda Odysey pada jam 4.30 petang pada 11 Mac lalu.

Pendakwaan dilakukan ibuat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohamad Asyraf juga mengaku bersalah memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam dan didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pertuduhan di bawah Seksyen 336 kerana melakukan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

Lelaki yang berusia 25 tahun itu turut mengaku bersalah kerana memandu secara cuai dan melanggar sebuah kenderaan Toyota ketika melarikan diri daripada polis dan pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun keseksaan.

Hakim Nur Shafiqah Noorinda menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan denda sebanyak RM5,000 bagi kesalahan kedua serta lesen memandu tertuduh digantung dan diendors.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan bagi kesalahan ketiga dan penjara 20 bulan bagi pertuduhan keempat.

Hukuman penjara bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat dijalankan secara serentak mulai hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh ditawarkan jaminan sebanyak RM6,000 oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anasuha Mat Saidi dengan seorang penjamin.

Jika disabitkan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim juga menetapkan 26 April ini bagi sebutan kes tuduhan pertama.

Dalam kejadian tempoh hari, suspek yang positif dadah nekad memandu kereta sejauh 75 kilometer dari Kuantan hingga Maran semata-mata untuk mengelak daripada ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Norzamri Abd Rahman berkata, suspek berjaya diberkas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey dipandunya terbabas berhampiran Felda New Zealand di Maran, kira-kira 69 kilometer dari Kuantan.

Kejadian bermula sekitar 3.20 petang apabila suspek dikatakan cuba melarikan diri selepas diarahkan berhenti oleh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Tanah Putih. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki nekad pandu 75 kilometer sebelum diberkas polis