Dr. Asmayani Khalib

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Pulau Pinang menunggu arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung rayuan pengurangan kompaun melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Asmayani Khalib berkata, pihaknya sedia maklum berhubung kegagalan orang ramai mendapatkan pengurangan kadar kompaun di pejabat kesihatan negeri.

“Buat masa ini tiada diskaun diberikan kepada mana-mana individu dan kita tunggu arahan daripada KKM untuk seragamkan isu ini bagi mengelakkan timbul kekeliruan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, sebanyak 13 kompaun dikeluarkan pihaknya sejak 11 Mac hingga Ahad lalu.

“Rata-rata individu dikompaun kerana gagal mengimbas aplikasi MySejahtera, rentas negeri, tidak memakai pelitup muka dan lain-lain kesalahan tidak mengikut SOP peraturan Covid-19,” ujar beliau.

Terdahulu, media tempatan melaporkan orang ramai mengeluh di pejabat kesihatan negeri daerah Timur Laut susulan gagal mendapatkan pengurangan kadar kompaun RM10,000.

Difahamkan orang awam ‘membanjiri’ pejabat kesihatan susulan laporan awal menyebut rayuan boleh dibuat di pejabat kesihatan daerah.

Bagaimanapun, rata-rata mereka meluahkan rasa kesal selepas pejabat itu mendakwa mereka tidak diberi kuasa untuk mengendalikan rayuan atau mengurangkan kompaun.- MalaysiaGazette