Dua rumah Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Gakuyah, Triang hangus dijilat api Dalam kejadian kebakaran pagi tadi.

KUANTAN – Dua buah rumah di Perkampungan Orang Asli Gakuyah, Triang hangus dijilat api dalam kebakaran pada pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Muhammad Redzuan Rahimpudin berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada pelita terbakar di rumah pertama merebak ke rumah jiran yang tidak berpenghuni menyebabkan kedua-duanya hangus.

Katanya, ketika kejadian seorang wanita dan dua anaknya yang sedang tidur terjaga apabila terhidu asap.

“Orang kampung berusaha menyelamatkan rumah ketiga daripada disambar api dengan bergotong-royong menjirus air dan menyelamatkan penghuni rumah tersebut.

“Faktor dan keadaaan rumah dibina beratap rumbia dan buluh menyebabkan api cepat marak sehingga menyambar rumah sebelah.

“Tiada nyawa terkorban dalam nahas tersebut tetapi segala harta benda tidak dapat diselamatkan kerana hangus terbakar,” katanya.

Menurut Muhammad Redzuan, anggota bomba mengambil masa hampir sejam selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.04 pagi berikutan lokasi jauh di pedalaman.

Ujarnya, sejurus tiba di lokasi kebakaran, anggota memadamkan bara-bara api. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast