Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. foto HAZROL ZAINAL, 24 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan semua ahli politik dan orang ramai, agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menghangatkan isu penggunaan kalimah ‘Allah’.

Beliau berkata, semua pihak perlu percaya kepada sistem kehakiman negara dan membiarkan isu berkenaan diselesaikan, menurut sistem perundangan di negara ini.

“Sekiranya boleh, pihak-pihak berkepentingan ini diharap dapat bersabar dan janganlah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati pihak lain, hentikanlah,” katanya dalam program wawancara bersama Ketua Polis Negara menerusi Facebook rasmi Sinar Harian hari ini.

Abdul Hamid meminta pihak-pihak bekepentingan berkenaan agar yakin dengan undang-undang negara yang berdaulat ini, kerana proses mahkamah berhubung isu itu masih belum berakhir.

“Sekiranya perkara ini tidak ada penyudahnya nanti, marilah kita bersama-sama merumuskan mencari jalan penyelesaian.

“Negara tidak boleh dibiarkan dengan isu-isu ini dan kita lihat ada pihak tidak bertanggunjawab cuba ‘menangguk di air keruh’, untuk terus menghangatkan lagi keadaan.

“Di pihak saya (Polis Diraja Malaysia) sebagai penguatkuasa undang-undang, saya tidak akan membiarkan isu ini sehingga ia menjadi pertelingkahan fizikal, saya akan elakkan (berlaku perbalahan antara kaum lain),” katanya.

Menurut Abdul Hamid, beliau akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang menimbulkan provokasi dan menghasut orang ramai, untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang berhubung isu ini.

Pada 10 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan. – Bernama