Takiyuddin Hassan

PUTRAJAYA – Kabinet hari ini bersetuju menetapkan Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun Di Bawah Akta 342 Dan Peraturan-peraturan Di Bawahnya yang berkuatkuasa hari ini, yang antaranya menawarkan diskaun 50 peratus atau 25 peratus kepada individu atau syarikat, sekiranya menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, individu atau syarikat yang dikenakan kompaun tertentu di bawah Akta 342 dan sekiranya membayar dalam tempoh seminggu atau dari hari pertama hingga hari ketujuh dari tarikh kompaun dikeluarkan, secara automatik mendapat diskaun 50 peratus.

“Sebagai contoh, bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka yang dikenakan kompaun RM1,500, sekiranya membayar dalam tempoh tujuh hari, hanya perlu bayar RM750,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, sekiranya kompaun dibayar antara hari kelapan hingga hari ke-14, individu atau syarikat layak mendapat diskaun 25 peratus, namun jika sudah melebihi 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan, tiada diskaun akan ditawarkan.

Beliau berkata, kerajaan dalam masa yang sama turut mempertimbangkan rayuan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), B40, pelajar dan berpenyakit kronik, untuk mendapat pengurangan kompaun melebihi nilai diskaun yang ditawarkan.

Takiyuddin berkata, mereka boleh membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui saluran tertentu, seperti perlu mengisi borang dan mengepilkan sekali dokumen sokongan seperti kad OKU atau kad pelajar.

Di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, rayuan boleh dikemukakan kepada pegawai-pegawai KKM yang ditetapkan seperti pengarah kesihatan negeri, timbalan pengarah kesihatan negeri (kesihatan awam), pakar epidemiologi daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Di Wilayah Persekutuan Labuan, rayuan boleh dibuat kepada pegawai KKM ditetapkan iaitu pengarah kesihatan negeri, timbalan pengarah kesihatan negeri (kesihatan awam) dan pegawai kesihatan epidemiologi.

“Mereka ini sahaja yang boleh beri pertimbangan kepada orang yang dikenakan kompaun berdasar rayuan dan bukti sokongan,” katanya.

Takiyuddin berkata bagi kesalahan yang dikenakan kompaun ketika pelaksanaan Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 bermula pada 11 Mac lepas, layak mendapat diskaun ditawarkan, dengan hari ini dikira sebagai hari pertama tanpa mengira tarikh kompaun dikeluarkan.- BERNAMA