Platform Ethis hampir mencapai sasaran RM1 juta dana sejak dilancarkan secara rasmi pada September lalu.

KUALA LUMPUR – Ethis Malaysia, pengendali platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) patuh Syariah pertama Malaysia menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya RM10 juta dana menerusi kempen-kempen yang mengutamakan impak sosial.

Ethis berkata, kempen ECF terbaharu di platformnya adalah Santan Wangsa Walk (Santan) iaitu sebuah premis makanan yang dioperasikan oleh pemegang francais.

Jelas syarikat itu, Santan yang menyediakan masakan ASEAN seperti nasi lemak Pak Nasser yang terkenal telah disokong oleh AirAsia Digital.

“Santan turut mendapat manfaat daripada sokongan jitu Kumpulan AirAsia melalui fokus kepada inovasi dan kepakaran membina perniagaan, infrastruktur teknologi yang canggih, program pengembangan bakat dan keupayaan penganalisian data.

“Kempen Santan Wangsa Walk oleh RZ Fortunes Sdn. Bhd. memberi impak sosial dengan membolehkan bekas pekerja dan pekerja semasa AirAsia menjadi sebahagian daripada perniagaan sebagai pemilik bersama dengan menjadi pemegang saham.

“Santan juga bekerjasama dengan petani dan entiti tempatan untuk memastikan kelestarian dan hubungan jangka panjang dalam komuniti ASEAN. ​Kempen Santan Wangsa Walk dijangka ditutup pada atau melebihi sasaran pembiayaan maksimum RM400,000,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ethis memberitahu, pihaknya telah menerajui pembentukan Green Renaissance Alliance (GRA) untuk menyumbang ke arah masa depan pertanian yang pintar, lestari dan beretika.

Ujar syarikat itu, ia adalah inisiatif yang dibayangkan sebagai Komuniti Amalan (Community of Practice) dalam untuk meningkatkan keselamatan pembekalan makanan dan keberlangsungan bekalan makanan.

“Ethis GRA mensasarkan untuk meningkatkan ekosistem sektor pertanian makanan di Malaysia dan rantau ini melalui produk-produk inovatif dan kolaborasi pelbagai pihak termasuk pembangun kapasiti, pengeluar dan pengilang, pemproses dan pengedar, penyedia rantaian bekalan dan teknologi, pengawal selia dan pihak berkepentingan lain.

“Salah satu penerbit yang akan sertai platform Ethis Malaysia, yang juga merupakan ahli aktif GRA, adalah syarikat perkhidmatan ladang berasaskan teknologi yang berusaha untuk membina komuniti petani yang memanfaatkan data dan menggunakan teknologi pertanian yang sesuai untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“Syarikat inovatif ini menyedari isu serius petani-petani yang berpendapatan rendah dan lanjut usia dan ingin sebagai permulaan menangani cabaran yang melanda industri padi tempatan kita,” katanya.

Sementara itu, seperti bursa saham, Ethis Malaysia menjanakan wang modal dengan membolehkan para pelabur membeli saham di syarikat-syarikat yang dikenali sebagai penerbit.

Untuk menjadi pengendali platform ECF yang sah, Ethis perlu memaklumkan semua proses utama untuk diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia iaitu entiti pengawasan yang sama untuk Bursa Malaysia.

Walaupun ekonomi global sedang merudung disebabkan oleh pandemik, platform Ethis hampir mencapai sasaran RM1 juta dana sejak dilancarkan secara rasmi pada September lalu.

Ethis juga adalah penandatangan dan ahli United Nations Global Impact (UNGC). Melalui pembiayaan pembangunan Perumahan Sosial di Indonesia, Ethis telah memberikan sumbangan positif terhadap sesetengah Agenda Pembangunan Berkelanjutan (UN Sustainable Development Goals). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast