Muhammad Amirul Asyraaf Zani.
KUALA LUMPUR – Siapa sangka hobi seorang remaja yang bermula dengan mengumpul kereta mainan jenis Hot Wheels kini bertukar menjadi sumber pendapatan buat dirinya dan keluarga.
Bagi Muhammad Amirul Asyraaf Zani, 17, dari Kampung Pauh Putut, Kota Bharu, Kelantan, minat mendalam terhadap kereta mainan itu telah mendorong dirinya untuk lebih serius dalam mengasah bakat mencipta kereta mini buatan sendiri.
Menurut Muhammad Amirul atau lebih dikenali sebagai Pak Tam dalam kalangan rakan-rakan, dia tidak menyangka kisahnya menjadi tular sehingga mendapat liputan media yang meluas sejak akhir-akhir ini.
“Hobi mengumpul Hot Wheels ini sudah lama tetapi saya mula serius mencipta kereta mini sendiri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Tidak sangka bermula dari sekadar hobi kini saya dapat mengumpul sedikit wang saku untuk diri dan juga keluarga.
“Sebenarnya ramai juga rakan-rakan sekampung yang lain berkongsi minat yang sama. Saya pun banyak belajar dari mereka bagaimana untuk buat kereta mini, selain menonton melalui saluran Youtube.
“Kebanyakan bahagian-bahagian kereta mini ini saya beli secara atas talian seperti badan kereta, tayar dan juga beberapa aksesori lain. Kemudian baru saya pasang ikut ‘design’ yang pelanggan mahukan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.
Antara koleksi kereta mini buatan Amirul Asyraaf Zani.
Berkongsi lanjut, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala, Melor itu berkata, dia banyak menerima tempahan daripada pelanggan yang mahu kereta mini ‘custom made’ iaitu sama seperti kereta milik mereka yang asal.
Justeru, ia memberi cabaran kepada Muhammad Amirul untuk melaksanakan kerja-kerja mencipta kereta tersebut seperti yang dimahukan oleh pelanggan.
“Ada design yang mudah dan ada juga yang sukar misalnya Perodua Myvi kerana terdapat banyak bentuk. Jadi saya kena lebih teliti dan fokus untuk menyiapkan tempahan sama seperti yang mereka mahukan.
“Kebanyakan pelanggan merupakan orang luar jadi mereka akan menghantar gambar kepada saya terlebih dahulu untuk saya lihat sebelum saya bersetuju untuk menerima tempahan,” katanya.
Tambah Muhammad Amirul lagi, dia hanya menyiapkan kesemua tempahan itu ketika waktu lapang atau hari minggu kerana tidak mahu ia mengganggu fokusnya yang masih berada di bangku sekolah.
Katanya lagi, ibu bapa serta dua lagi adik-beradiknya turut memberikan sokongan terhadap hobi yang diminatinya itu.
“Ayah sudah lebih tujuh takut sakit kencing manis dan kakinya sudah dipotong sejak dua tahun lalu. Jadi kini ayah menggunakan kerusi roda untuk bergerak manakala ibu pula bekerja sebagai tukang jahit.
“Alhamdulilah berkat rezeki yang diterima daripada hobi ini dapatlah sedikit sebanyak saya membantu perbelanjaan untuk ibu dan ayah,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai koleksi Hot Wheels kegemarannya, Muhammad Amirul berkata, dia amat menyukai kereta jenis Mitsubishi Evo 7.
Jelas Muhammad Amirul, mereka yang berminat untuk membuat tempahan kereta mini boleh menghubunginya menerusi aplikasi Instagram paktam_garage04. – Malaysia Gazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast