Chong Say Hun (tengah) dituduh cederakan seekor kucing di Mahkamah Sesyen George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pesara guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seekor kucing pada November tahun lalu.

Tertuduh, Chong Say Hun,79, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut kertas pendakwaan, tertuduh secara tidak munasabah membaling sebatang besi tajam sepanjang 1 meter hingga mencederakan dan menyebabkan penderitaan ke atas seekor kucing betina berwarna putih tompok hitam.

Kucing yang dicederakan suspek turut dibawa ke mahkamah sebagai bukti barang kes.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di halaman rumah bernombor 16, Lengkok Tembaga, Island Park dekat Georgetown pada jam 6.40 petang, 15 November tahun lalu.

Say Hun didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Hakim kemudian menetapkan 19 April depan untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Roziman Awang Tahrin.

Tertuduh diwakili peguam Simon Murali. – MalaysiaGazette