SEPANG – Tiada manusia yang sempurna di dunia ini dan masing-masing tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.
Berikutan itu adalah tidak wajar untuk melabel mereka sebagai penjenayah seumur hidup tanpa memberi peluang untuk kembali ke pangkal jalan, kata Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad.
Program I-Kembali anjuran Pergak hari ini menerima 15 banduan Orang Bebas Berlesan (OBB) dari dari Penjara Sungai Udang, Melaka dan Kluang Johor.
Menurut Siti Murni, setakat ini pihaknya berjaya meyakinkan beberapa syarikat untuk memberi peluang kedua kepada bekas banduan dengan menawarkan pekerjaan kepada mereka.
“Saya tahu masyarakat masih terkongkong dengan persepsi seseorang penjanayah yang menjalani hukuman penjara dan dibebaskan masih berbahaya dan sukar dipercayai kerana rekod penjara.
“Tapi kita kena faham mereka bukan pesalah selama-lamanya dan mereka sudah menerima hukuman setimpal dalam penjara dan tidak adil mereka dihukum lagi oleh masyarakat.
“Kita perlu beri peluang kedua mereka memulakan kehidupan baharu menerusi kerjaya, kalau bukan kita siapa lagi yang akan percaya mereka,” katanya kepada pemberita selepas menerima 35 banduan OBB di Bandar Baru Salak Tinggi hari ini.
Katanya, pada Januari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) meminta Pergak menyediakan tenaga kerja dalam kalangan bekas banduan atas dasar kepercayaan bahawa mereka telah insaf dan bersedia berkhidmat untuk masyarakat.
Kata Siti Murni, pihaknya sedang dalam proses menyediakan 80 orang bekas banduan kepada PTP yang mana 50 orang adalah wanita.
Tambah beliau kesemua banduan OBB itu akan didaftar dan diberikan latihan serta motivasi agama sebelum ditempatkan dalam alam pekerjaan mengikut sektor yang sesuai dengan mereka.
“Kami sediakan banyak program motiviasi, saringan kesihatan, pengurusan MyKad, nasihat agama untuk mereka balik kepada jati diri masyarakat di samping kami tekankan kepada mereka supaya jangan takut berdepan masyarakat,” ujar beliau.
Ditanya tentang penerimaan masyarakat terhadap bekas banduan, Siti Murni berkata, mereka tidak sepatutnya disisihkan.
“Respon positif diterima apatah ada juga ahli keluarga, teman wanita, tunang setiap banduan OBB ini selain bekas banduan yang lama bebas dari penjara juga mendaftar diri dala laman web Pergak secara sukarela untuk i-kembali ini,” katanya.
Beliau menyasarkan program itu menerima 10,000 bekas banduan menjelang akhir tahun ini dan setakat ini ia sudan menerima 1,000 orang. – MalaysiaGazette