Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah.

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan momentum kemenangan apabila menampilkan aksi cemerlang di luar negara selepas menjuarai Terbuka Switzerland minggu lalu.

Kali ini, pasangan muda negara itu mencipta kejutan dengan menewaskan pilihan keempat dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-17, 23-21 dalam aksi pusingan pertama Seluruh England yang berlangsung di Birmingham, awal pagi tadi.

Mereka yang berada di ranking ke-22 dunia dijadual bertemu pasangan ranking ke-466 dari England, Jenny Moore-Jessica Hopton pada pusingan kedua hari ini dalam mencapai misi melangkah ke suku akhir.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas mudah membenam cabaran Brian Yang dari Kanada 21-13, 21-10.

Dia akan bertemu pemain Denmark, Hans-Kristian Solberg Vittinghus bagi perebutan tempat ke suku akhir, hari ini.

Dalam aksi beregu lelaki, dua pasangan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut mengatasi lawan masing-masing bagi melangkah ke pusingan kedua.

Ee Yi-Yew Sin pula yang menang ke atas beregu India, M R Arjun-Dhruv Kapila 21-13, 21-12 di pusingan pertama akan menentang pilihan keempat dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe, hari ini. – MalaysiaGazette