Seorang keluarga melihat poster penumpang Ukraine Airlines yang ditembak jatuh pasukan Revolusi Elit Iran pada Januari 2020. foto Agensi

KIEV – Ukraine telah menolak laporan akhir oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Iran (CAOI) berhubung kejadian pesawat komersialnya yang ditembak jatuh pada tahun lalu.

Negara itu mendakwa CAOI cuba menyembunyikan kebenaran.

Pesawat Ukraine International Airlines PS752 terkena dua peluru berpandu setelah berlepas dari Teheran pada 8 Januari 2020.

Insiden itu mengorbankan kesemua 176 orang penumpang dan anak kapal.

Dalam laporan itu, CAOI memberitahu, seorang pengendali telah tersilap mengenal pasti pesawat berkenaan sebagai pesawat musuh lalu melepaskan peluru berpandu tanpa kebenaran daripada komander.

Dalam sebuah video yang disiarkan di Facebook susulan penerbitan laporan tersebut, Menteri Luar Negeri Ukraine, Dmytro Kuleba menyifatkan siasatan oleh Iran itu “berat sebelah”, bukti yang dikemukakan “selektif” dan kesimpulan “mengelirukan”.

“Dokumen ini tidak menyajikan semua keadaan, tidak mengungkapkan punca tragedi atau rantaian tindakan yang menyebabkannya. Ini bukan laporan, ini adalah kumpulan manipulasi, yang tujuannya adalah untuk tidak menetapkan kebenaran, tetapi untuk menyelamatkan Iran, “katanya.

Ukraine dan empat negara lain – Kanada, UK, Afghanistan dan Sweden antara warganegara penumpang dalam pesawat itu telah menuntut Iran memberikan penjelasan lengkap dan menyeluruh tentang apa yang berlaku.

Selepas tiga hari pertama nahas penerbangan PS752 itu, angkatan bersenjata Iran menafikan sebarang tanggungjawab dan CAOI mencadangkan ada kegagalan teknikal.

Namun selepas bukti-bukti semakin terserlah, Pasukan Aeroangkasa Pengawal Revolusi berkata, unit pertahanan udara telah tersilap membuat penilaian bahawa pesawat Boeing 737-800 itu diangagap peluru berpandu Amerika Syarikat (AS).

Pertahanan udara Iran berada dalam keadaan berjaga-jaga pada waktu itu kerana negara itu baru saja melepaskan peluru berpandu balistik kedua di pangkalan tentera Iraq yang menjadi tuan rumah pasukan pertahanan AS sebagai pembalasan ke atas pembunuhan jeneral Iran, Qasem Soleimani dalam serangan dron di Baghdad lima hari sebelumnya.

Laporan akhir CAOI mengatakan setelah penempatan semula taktikal, unit pertahanan udara yang dimaksud “gagal menyesuaikan arah sistem daripada kesilapan manusia, menyebabkan operator melihat sasaran terbang ke arah barat dari (Lapangan Terbang Imam Khomeini) sebagai sasaran yang menghampiri Tehran dari barat daya pada ketinggian yang agak rendah.

“Spesifikasi sasaran diumumkan ke pusat komando, tetapi pesanan itu tidak pernah disampaikan. Tanpa menerima langkah awal atau respons dari pusat komando, (operator) datang untuk mengenal pasti sasaran sebagai musuh dan melepaskan peluru berpandu ke arah pesawat bertentangan dengan prosedur yang dirancang,” tambahnya.

Menurut laporan itu, hulu ledak peluru berpandu permukaan-ke-udara pertama meletup dekat dengan pesawat dan “menyebabkan kerosakan pada sistem pesawat, setelah itu kerosakan tersebut dapat dilihat”.

Ketiga-tiga anak kapal kokpit “nampaknya tidak mengalami kecederaan fizikal dalam letupan itu dan hanya terlibat dalam menguruskan keadaan,” kata laporan itu.

Laporan itu mengatakan kemungkinan peluru berpandu kedua “tidak mempengaruhi pesawat”, dan “peluru berpandu itu” telah mempertahankan integriti strukturnya pada saat ia jatuh ke tanah dan meletup “di wilayah Shahedshahr, barat daya Teheran.

CAOI menyimpulkan “sama ada keadaan teknikal atau operasi pesawat, mahpun jalur dan ketinggian penerbangannya menyumbang kepada kesilapan identifikasi” oleh unit pertahanan udara.

Sembilan anak kapal Ukraine maut dalam insiden itu.

Manakala Iran pula mendakwa mangsa-mangsa termasuk 146 orang yang memegang pasport Iran.

Kanada berkata, 55 penumpang adalah warganegaranya manakala 30 lagi adalah pemastautin tetap.

Dalam satu kenyataan bersama pada hari Rabu, Menteri Luar Negeri Kanada Marc Garneau dan Menteri Pengangkutan Omar Alghabra mengatakan mereka “sangat prihatin terhadap kurangnya maklumat dan bukti yang meyakinkan”. – MalaysiaGazette