MUDA DAP political coalition GE15 Johor state election politics Malaysian United Democratic Alliance
Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama sebahagian daripada penyokong yang hadir selepas selesai menyerahkan surat peguam di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya pada 21 Disember 2020.

AWAL minggu ini, Parti MUDA pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah membuat laporan polis mengenai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang membabitkan menteri dan orang kenamaan.

Rasional MUDA dalam membuat laporan ini adalah untuk menggesa pihak kerajaan dan polis untuk mengambil tindakan terhadap layanan dua darjat yang diberikan kepada para
menteri berbanding rakyat biasa.

Rentetan itu, MUDA juga melancarkan satu laman web
kononnya untuk mengumpulkan aduan dan maklumat berkenaan golongan menteri yang melanggar proses SOP.

Terdapat beberapa persoalan yang boleh dibangkitkan, misalnya adakah ini sesuatu tindakan yang konstruktif bagi mencari penyelesaian kepada masalah?

Apakah logik di sebalik membuat laporan polis sekiranya mereka ini sudah tidak percaya akan integriti pihak berkuasa, dan adakah pelancaran laman web untuk mencari pasal dengan menteri akan membawa penyelesaian terhadap masalah dua darjat?

Sebenarnya, tindakan membuat laporan polis semata-matanya hanya untuk mendapat perhatian orang ramai. MUDA sepatutnya mengambil inisiatif dalam mencadangkan pengawasan yang lebih ketat dan memastikan penguatkuasaan SOP diikuti oleh semua.

Namun begitu, tindakan yang diambil oleh mereka sudah pun dipengaruhi anasir liberal yang sering kita lihat mencabar golongan berkuasa atau ‘anti-establishment’.

Sememangnya mereka tidak akan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Jika ini adalah ‘modus operandi’ MUDA untuk cuba menyelesaikan masalah, sudah tentu ia akan menemui kegagalan.

Ini kerana telatah politik MUDA hanya mampu menimbulkan lebih masalah daripada penyelesaian, dan para rakyat kini menghadapi tekanan yang tinggi dari aspek kos sara hidup, kekurangan peluang pekerjaan, dan eksploitasi pekerja.

Dalam senarai masalah yang dihadapi rakyat terutamanya golongan muda, adakah tuduhan layanan dua darjat ini suatu yang menjadi prioriti untuk mereka? Optik bagi MUDA kini
adalah sebuah parti yang sudah hilang arus perjuangan.

Ia tidak lagi mewakili harapan dan impian warga belia secara keseluruhan, malah MUDA hanya mementingkan segelintir
golongan muda yang menetap di Lembah Klang yang berpaksikan fahaman liberal.

Sudah berbulan Syed Saddiq menggunakan hashtag “#MUDAsudahmula” untuk menghebohkan parti gagasannya. Ini menunjukkan beliau telah gagal menyusun parti ini
secara efektif.

Selain daripada berdemo di depan balai polis dengan payung hitam dan membuat laporan polis, adakah beliau telah melancarkan sebarang pergerakan yang memberi fokus terhadap membantu rakyat?

Tidak. Sebaliknya, beliau nampaknya sudah pun menyerah kalah. Setelah permohonan pendaftaran MUDA sebagai parti politik yang sah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), beliau telah mengalihkan fokus kepada pelajarannya di Singapura.

Awal bulan ini pula, beliau mengumumkan bahawa
beliau akan ke Singapura untuk menghabiskan pelajarannya.

Selain daripada Syed Saddiq, barisan pimpinan MUDA pula tidak memiliki ikutan dan pengaruh yang mencukupi untuk terus kekal relevan semasa ketiadaan Syed Saddiq.

Mereka ini bukan sahaja kurang faham akan landskap politik Malaysia malah terlalu naif dalam menaruh segala harapan dan kepercayaan terhadap seorang wakil rakyat dalam penggal
pertamanya.

Sudah enam bulan sejak pertubuhan MUDA diumumkan kepada khalayak ramai.

Namun, sambutan yang diberinya hanyalah suam-suam kuku dan sejak itu, ramai sudah meluahkan perasaan kecewa mereka terhadap Syed Saddiq.

Ini sudah menunjukkan bahawa MUDA sudah gagal. Agenda liberal mereka tidak dapat menarik hati golongan muda di negara ini yang mematuhi undang-undang dan mementingkan ketenteraman masyarakat.

Dengan hala tuju yang tidak menentu, idealisme yang lemah dan akar umbi yang tidak tersusun, nampaknya MUDA kini menghadapi krisis dalaman yang bakal memecahbelahkannya sebelum ia dapat bermula.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast