KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang keluar dari rumahnya di Tampin, Negeri Sembilan sejak Sabtu lalu didapati masih belum pulang sehingga hari ini.
Che Som Ibrahim, 69, keluar dari rumahnya di Taman Desa Permai itu kali terakhir dilihat memakai baju kurung berwarna ungu kira-kira pukul 8.30 pagi tiga hari lepas.
Salah seorang anaknya, Abdul HalemĀ Shamsuddin berkata, dia menyedari ketiadaan ibunya apabila melihat Che Som tidak memasak sarapan seperti biasa.
“Sebelum ini memang pernah juga berlaku dia keluar tetapi ibu saya akan pulang selepas beberapa jam kemudian.
“Namun kali ini, ibu saya tidak pulang-pulang ke rumah dan sudah tiga hari hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Halem juga telah membuat laporan di Balai Polis Daerah Tampin berhubung kehilangan ibunya selain bersama ahli-ahli keluarganya yang lain mencari Che Som.
Seakat pukul 3 petang ini, ibunya masih belum ditemui dan usaha mencarinya masih dilakukan oleh sekumpulan penduduk di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa dengan Che Som boleh menghubunginya di talian 013-272 9741 atau Zamzuri di talian 014-641 6179.- MalaysiaGazette