KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak puas hati motosikal didakwa menghalang sebuah kenderaan pacuan empat roda, sekumpulan lelaki terlibat dalam perselisihan faham sebelum bertukar menjadi pergaduhan.
Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran Bulatan Pahang di sini semalam dan video kejadian itu tular di media sosial.
Video berdurasi lebih dua minit itu memaparkan penunggang motosikal membaling helmet ke atas kenderaan terbabit sebelum pemandu pacuan empat roda itu mengeluarkan parang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung insiden tersebut.
Hasil siasatan polis berjaya menahan empat lelaki berusia antara 16 hingga 42 tahun di beberapa lokasi sekitar ibu negara.
“Siasatan awal yang dijalankan oleh mendapati kejadian berpunca dari perselisihan faham berkaitan halangan sebuah motosikal ke atas kenderaan pacuan empat roda di Lorong Haji Hussin, Chow Kit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Zainal, kesemua tangkapan itu telah direman selama tiga hari bermula 22 hingga 25 Mac ini untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan [Akta 574].
“Hasil ujian urin ke atas semua tangkapan didapati negatif dan polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang yang sedia ada.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.-MalaysiaGazette