zuhdi marzuki
Dr Mohd Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Pertembungan antara Pas dan UMNO di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak akan berlaku sekiranya usaha memperkasakan Muafakat Nasional (MN) diteruskan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata,  seluruh pendukung kedua-dua parti itu di seluruh negara tidak perlu bimbang dengan perkembangan semasa MN pada masa kini.

“Semalam telah tular video ucapan Presiden UMNO dan Ketua Pemudanya kepada jentera parti mereka di Terengganu sehingga menimbulkan keresahan kedua-dua pendukung Pas dan UMNO.

“Penularan ucapan kedua-dua pemimpin UMNO ini telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengganggu gugat hubungan kedua-dua parti di dalam MN.

“Setelah saya meneliti ucapan kedua-dua pemimpin UMNO ini, saya boleh menyimpulkan bahawa ucapan kedua-dua mereka hanyalah bersifat hipotetikal.

“Mereka hanya membuat andaian sekiranya hubungan Pas dan UMNO dalam MN terputus di tengah jalan sebelum PRU-15, maka tidak dielakkan pertembungan antara Pas dan UMNO akan berlaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Zuhdi berkata, jika mimpi ngeri terbubarnya MN itu berlaku kepada kedua-dua parti di dalam gabungan berkenaan maka pertembungan antara kedua-dua parti itu boleh berlaku di negeri-negeri lain.

Bagaimanapun katanya, realiti sebenar yang berlaku adalah hubungan Pas dan UMNO menerusi MN semakin erat dan kukuh.

Malah jelas beliau, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sendiri berada di dalam jawatankuasa bersama beliau serta beberapa pimpinan Pas dan UMNO lain yang dipertanggungjawabkan untuk merancang agenda bagi memperkasa MN.

“Oleh yang demikian saya amat yakin UMNO konsisten mendukung agenda Penyatuan Ummah yang menjadi teras MN,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Zuhdi menyeru seluruh pendukung Pas dan UMNO agar terus memperkukuhkan agenda Penyatuan Ummah khususnya ketika umat Islam berada di ambang bulan Ramadan yang akan menjelang tidak beberapa lama lagi.

“Marilah kira menjadikan masa mendatang ini untuk kita mencipta satu masa depan Islam yang gemilang untuk kesejahteraan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast