R Barathkumar. Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Negeri Sembilan FC, R Barathkumar ingin terus memberi saingan sengit dalam memburu jaringan terbanyak Liga Premier 2021 selepas beraksi cemerlang dalam lima perlawanan dengan mengumpul empat gol setakat ini.

Ia merupakan prestasi yang memberangsangkan buat pemain berusia 29 tahun ini jika dibandingkan pada musim-musim lalu ketika bersama PJ City FC.

Beliau menyifatkan tahun ini akan menjadi musim yang lebih baik untuknya bersama Negeri Sembilan.

Musim lalu, Barathkumar hanya mencetak dua gol dan tiga gol untuk musim 2019 yang menyaksikan pencapaiannya bersama PJ City FC selama dua musim tidak terlalu menyerlah.

Namun, kali ini namanya kembali menjadi sebutan apabila berjaya membantu pasukan menerusi jaringannya dalam perlawanan, sekali gus meletakkan Negeri Sembilan kekal di tangga teratas Liga Premier dengan rekod bersih tanpa kalah.

“Saya memang sasarkan untuk terus memburu gol bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk pasukan dan saya rasa saya mampu buat lebih lagi pada musim ini.

“Tahun lepas macam-macam kekangan yang kita hadapi dan agak sukar untuk saya serlahkan kemampuan saya, tetapi musim ini saya memang tekad untuk cuba meningkatkan lagi tahap kemampuan saya dengan lebih baik.

“Empat gol ini cukup bermakna dan saya tidak akan berhenti untuk terus memastikan pasukan mendapat pencapaian cemerlang seterusnya layak untuk beraksi di Liga Super tahun depan”, katanya kepada Liga Bola sepak Malaysia.

Dalam aksi kelima Liga Premier pada Ahad lalu, Negeri Sembilan terus mengukuhkan kedudukan dengan mengekalkan kemenangan selepas menewaskan Skuad Projek FAM-MSN dengan keputusan 2-0.

Mengikuti rapat kedudukan pendahulu liga adalah Sarawak United FC yang juga masih belum tewas dalam empat perlawanan mereka.

Setakat ini berada di tangga kedua selepas mengumpul 10 mata.

Menurut pengendalinya, E. Elavarasan, keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Terengganu FC II Ahad lalu semestinya tidak memberi kepuasan kepada pasukan sambil menyifatkan aksi penyudah yang tumpul menjadi punca kepada keputusan itu.

“Saya rasa dua-dua pasukan baik kami dan lawan juga tidak gembira dengan keputusan ini dan kalau kita lihat secara keseluruhan perlawanan itu, pasukan TFC II boleh menang sebenarnya.

“Mereka beraksi dengan baik dalam babak pertama, dan apabila kita melakukan satu atau dua pertukaran, baru boleh nampak sedikit perubahan, tetapi sayang banyak aksi penyudah tidak menjadi.

“Tetapi, tidak mengapa selagi tidak kalah dan kita tetap meraih satu mata, yang penting kita perlu memperbaiki kelemahan yang ada dalam tempoh masa yang ada ini sebelum berjumpa Kelantan FC pada 3 April ini”, katanya.

Aksi Liga Premier 2021 akan kembali bersambung pada 2 April depan yang menyaksikan perlawanan liga ketika ini sedang berehat bagi memberi laluan kepada kem latihan skuad kebangsaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast