Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal memberikan kata-kata akhir sebelum tamat Majlis Aprisiasi Media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. Foto FIKRI YAZID 24 MAC 2021.

PETALING JAYA – ‘Untuk warga Petaling Jaya. Thank you Petaling Jaya. I Love You all 3000,”.

Ia merupakan ungkapan terakhir Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal pada Majlis Apresiasi Media malam ini.

Nil Ezanee akan meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya esok, selepas sambutan Hari Polis Ke-214.

Pada majlis malam ini, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada petugas media dan penduduk Petaling Jaya di atas kerjasama yang diberikan untuk mengekalkan bandaraya itu terus aman dan tenteram.

Nik Ezanee berkata, sejurus mengambil alih tugas pentadbiran daerah itu pada Februari tahun lalu, beliau berhadapan dengan cabaran penularan Covid-19 yang menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tahun lalu.

“Manakala sejak Januari lalu ia disusuli semula dengan PKP 2.0 dan PKPB setelah kes mula melonjak semula sehingga mencecah lebih 5,000 kes jangkitan sehari.

“Bagaimanapun pasukan saya yang berdepan cabaran pelbagai bentuk dalam menguatkuasakan segala bentuk PKP sepanjang 12 bulan lalu berjaya mengharungi kekangan itu dengan kerjasama masyarakat PJ serta pengamal media.

“Kerjasama media selaku salah satu barisan hadapan dengan meredah panas terik dan cuaca buruk, hujan, ribut sepanjang masa bersama kami berjaya membawa mesej dan nasihat yang kita mahu sampaikan kepada warga PJ supaya mereka memahami niat biak kita dan kekal selamat mematuhi SOP bagi melandaikan penularan,” katanya di IPD Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menyampaikan sijil kepada wartawan Malaysia Gazette, Kumara Sabapatty pada Majlis Aprisiasi Media di Petaling Jaya, Selangor. Foto FIKRI YAZID, 24 MAC 2021.

Nik Ezanee dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkuatkuasa 12 April ini dengan pengkat Senior Asisten Komisioner.

Beliau mengakui sokongan dan teguran yang dilakukan media membantu mempertingkatkan integriti dan penyampaian pihak berkuasa itu kepada masyarakat.

“Peranan Media sebagai sahabat penyalur maklumat yang telus, tepat dan bernas membolehkan polis sentiasa dekat dengan masyarakat selari dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

“Saya dengan rendah diri mengucapkan setinggi terima kasih kepada pasukan saya yang bekerjasama dengan saya untuk melaksanakan setiap rancangan program dan penguatkuasaan tanpa gagal selama lebih setahun lalu selain memohon maaf jika ada kekasaran ketika bertugas.

“Untuk warga PJ, I love you 3000!,” katanya.

Menurut Nik Ezanee, beliau meninggalkan Petaling Jaya tanpa kekesalan kerana percaya segala langkah atau strategi untuk memartabatkan imej polis di daerah itu telah dilaksanakan sebaik mungkin.

Namun beliau mengharapkan penggantinya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dapat meneruskan legasi serta agenda memperkasakan polis Petaling Jaya ke tahap yang lebih tinggi lagi.

“”Saya sangat puas hati, banyak belajar bersama masyarakat PJ, sentiasa akrab dan harap ia berterusan di bawah pegawai baharu nanti.

“Saya yakin beliau (Mohamad Fakhrudin) pegawai terbaik yang mempunyai keupayaan meneruskan kecemerlangan ini, itu tak boleh dinafikan lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette