Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 50 peratus berkuatkuasa serta-merta sehingga 14 April ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, diskaun itu ditawarkan sempena Hari Polis ke-214 yang disambut PDRM di seluruh negara hari ini kecuali bagi enam kesalahan.

Katanya, enam kesalahan yang tidak dapat diskaun ialah memotong garisan kembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju yang ditetapkan di lebuhraya, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak berhenti di lampu isyarat dan memotong barisan Q.

“Bagi memudahkan proses pembayaran saman tanpa beratur panjang berjam-jam dalam panas terik dan hujan, lazimnya sehingga berlaku kesesakan di hadapan polis trafik bukit, hari ini kami melancarkan portal dan aplikasi Mobile MyBayar Saman.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun dalam Apple IOS dan Android dan anda sudah boleh membayar saman dengan diskaun 50 peratus tanpa perlu membuang masa beratur panjang di kaunter trafik setiap hari.

“Bagi negeri-negeri yang menghadapi masalah penggunaan aplikasi ini, kelulusan akan diberikan supaya bayaran saman boleh dijelaskan dengan diskaun 50 peratus secara manual di kaunter saman trafik sepanjang 18 hari ini,” katanya dalam selepas majlis pelancarannya di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir timbalannya, Komisioner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengfarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Azisman Alias.

Bagi menggunakan perkhidmatan dalam talian MyBayar Saman ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi PDRM atau pautan https://mybayar.rmp.gov.my.

Manakala aplikasi mobile mengkehendaki pengguna memuat turun aplikasi MyBayar Saman dan perlu berdaftar sebagai pengguna.

Tambah beliau, perkhidmatan baharu ini memberi pilihan kepada orang awam, selain kaedah sedia ada iaitu kaunter bayaran saman di semua ibu pejabat polis daerah, kontinjen negeri , Pusat Transformasi Bandar (UTC) , Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , ATM Maybank dan Pos Malaysia Berhad.

Abdul Hamid berkata, PDRM turut merancang menambah mod bayaran secara e-dompet yang tidak terhad kepada pembayaran kompaun saman dan penerimaan lain-lain hasil oleh jabatan di PDRM terutama sistem trafik Cops yang diintegrasi dengan sistem Pengurusan Kewangan Kerajaan sebelum akhir tahun ini.

Aplikasi ini jug, ujar beliau akan mengurangkan kebergantungan JSPT kepada kutipan ejen swasta serta meningkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan trafik kepada awam, yang mana saman boleh dibayar tanpa had masa dan sempadan tanpa sebarang caj perkhidmatan.

“Selepas diaktifkan sejak 12.01 tengah malam tadi lebih sejuta ringgit berjaya dikutip kurang 24 jam. Ini menunjukkan orang ramai mengharapkan satu sistem pembayaran saman yang memudahkan urusan mereka,” katanya.

Ketua Polis Negara itu berkata, data statistik sejak 1990 hingga 2020 menunjukkan jumlah saman yang dikutip JSPT adalah sebanyak RM6.6 bilion.

Dalam masa lima tahun terakhir ini iaitu antara 2015 hingga tahun lalu, jumlah saman yang berjaya dikutip adalah RM1.896 bilion.

“Ini menunjukkan ramai pengguna jalan raya sangat kaya-raya dan murah hati melakukan kesalahan dan bayar jumlah saman yang tinggi, yang mana ia satu indikasi dan imej tidak baik.

“Kita tidak bangga dengan jumlah saman yang dikutip berbilion itu sebaliknya niat PDRM mahu jumlah kesalahan trafik berkurangan setiap hari dan setakat ini 32 peratus pesalah trafik masih tegar dan tidak menjelaskan tunggakan kompaun saman,” katanya.

Bagaimanapun menerusi pelancaran MyBayar Saman ini, PDRM mensasarkan kutipan saman berjumlah RM500 juta untuk tahun 2021 bagi pesalah tegar. – MalaysiaGazette