Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Kedah melaksanakan projek mengancam bekalan air di negeri itu.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya juga akan mengemukakan bantahan kepada kerajaan Persekutuan serta usulkan bantahan di Parlimen bagi menghentikan projek terbabit.

Jelas beliau, Pulau Pinang secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa membayar Kedah sejak tahun 1973 dan tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian atau kontrak bagi tujuan tersebut.

“Sekiranya Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berpendapat bahawa beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang, beliau silap.

“Jika projek tersebut menimbulkan penderitaan bagi penduduk dan menyebabkan kerugian kepada perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang, kerajaan negeri akan saman Muhammad Sanusi untuk kos dan kerosakan.

“Sekiranya kerajaan Kedah mahu meneruskan tindakan mereka kita akan mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghentikan projek itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kon Yeow, Kedah tidak boleh menjalankan projek melibatkan Ulu Muda yang tidak sah atau tidak dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan.

“Mengikut undang-undang negeri dan Persekutuan, sebarang projek ‘baharu’ Sungai Muda di Kedah di hulu muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang mesti mematuhi semua undang-undang yang berkaitan.

“Kedah boleh mencadangkan tetapi kerajaan Persekutuan atau undang-undang negara boleh melupuskannya.

“Semua skim berkaitan air yang dicadangkan Muhammad Sanusi juga tertakluk kepada kelulusan oleh kerajaan Persekutuan,” ujar beliau.

Terdahulu, Kedah mengumumkan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang menakung lebihan air di Sungai Muda dan mula dibangunkan tahun ini.

Projek yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air itu bertujuan meningkatkan bekalan air di Kedah dan menstabilkan paras air di sungai tersebut ketika musim kemarau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau belum ada perjanjian, boleh la caj. Yg susah klu ada perjanjian dulu kata xleh caj.. ha3x

Comments are closed.