KUALA LUMPUR – Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 selepas 1 September 2022 bercanggah dengan keputusan Parlimen dua tahun lalu.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Nur Aizat Noor Azam berkata, keputusan tersebut ternyata bercanggah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu hak asas yang telah diberikan kepada rakyat berumur 18 tahun.
“Saya berpandangan keputusan itu amat bercanggah sekali dengan sebab atau asas utama Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membenarkan rakyat berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi dalam pilihan raya yang akan datang.
“Atas dasar itu dan juga atas dasar ketidakmunasabahan keputusan tersebut, saya berpendapat keputusan SPR tersebut boleh dicabar di mahkamah,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Pada Khamis lalu, SPR dalam kenyataannya memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Mengulas mengenainya, Muhammad Nur Aizat memberitahu, ia menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.
Dalam pada itu, katanya, SPR wajib memberi penjelasan sama ada keputusan tersebut dibuat selepas perundingan dengan Kabinet atau sebaliknya.
“Jika ya, Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menjelaskan perkara ini kepada seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak dakwaan terhadap kepercayaan yang dimiliki oleh PM di Parlimen.
“Sekiranya SPR dan PM tidak memberikan penjelasan tersebut, keputusan tersebut seolah-olah dibuat bagi mengelakkan bakal pengundi berumur 18 menjalankan hak mengundi adalah tidak berperlembagaan,” katanya.
Beliau turut menggesa SPR menarik balik atau mempertimbangkan semula keputusan tersebut dengan segera serta mengambil langkah-langkah yang segera.
“Ia bagi memastikan bakal pengundi berumur 18 tahun boleh mengundi pada pilihan raya yang akan datang.
“Sekiranya SPR enggan berbuat demikian tanpa memberikan sebarang penjelasan kukuh dan telus, SPR perlu bersedia untuk diheret ke mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette