PUTRAJAYA – Polis membuka kertas siasatan terhadap dakwaan gangguan seksual melalui perkataan tidak sopan yang dikeluarkan pegawai polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata, pegawai polis itu telah membuat laporan tentang hantaran yang dimuat naik pada akaun Twitter wanita tersebut pada jam 1.35 tengahari semalam.
“Laporan polis dibuat kerana menurut pengadu (pegawai polis), dakwaan pengguna aplikasi Twitter tersebut adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pada jam 6 petang hari sama seorang wanita Melayu, 28, yang merupakan pemilik akaun Twitter tersebut telah tampil membuat laporan polis mendakwa seorang pegawai polis telah membuat gangguan seksual terhadapnya dengan menggunakan kata-kata yang tidak sopan semasa melalui SJR di Putrajaya pada jam 9 pagi semalam.
Mohd Fadzil berkata, wanita itu yang dalam perjalanan untuk urusan perniagaan produk minuman susu telah disoal dengan ayat ‘You perah sendiri ke susu tu?” menyebabkannya rasa tidak selesa dan tidak puas hati sehingga memuatnaik hantaran di aplikasi Twitter.
Tambah beliau, siasatan awal polis berhubung dakwaan itu, pegawai polis terbabit menafikan telah mengeluarkan perkataan yang tidak sopan semasa menyoal wanita tersebut.
Sebaliknya, beliau bertanyakan berkenaan produk susu tersebut dengan ayat ‘You buat sendiri ke susu tu?” ujarnya.
“Petugas lain termasuk Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di lokasi kejadian juga telah disiasat dan menafikan berlakunya gangguan seksual sebagaimana dakwaan wanita tersebut.
“Pihak Polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Mohd Fadzil berkata, siasatan akan diteruskan setelah mendapat Perintah Penyiasat (O.T.I) daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara sebagaimana peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 108(2) Kanun Prosedur Jenayah.
Tambah beliau, polis akan menjalankan siasatan yang telus dan
orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan dan spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan pihaknya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Shamin Abul Qasim di talian 03-8886 2068, Pusat Kawalan Daerah Putrajaya di talian 03-8886 2145 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999. – MalaysiaGazette