China donates Penang Covid-19 vaccine donation scam Lim Guan Eng Chow Kon Yeow Yong Chee Kong Xintai Development Enterprise Hong Kong Koko Chang Sinovac
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

PUTRAJAYA – Pekerja industri berkapasiti besar terutama yang beroperasi di kawasan zon merah diberi tumpuan pemberian pelalian Covid-19.

Bagaimanapun, langkah itu hanya akan dilaksana sekiranya negara memperoleh bekalan vaksin yang mencukupi kelak, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, tumpuan itu akan diberikan kepada syarikat industri yang mempunyai lebih 5,000 pekerja.

“Beberapa libat urus sudah dijalankan terutama dengan pihak industri dan apabila bekalan vaksin mencukupi, kita akan mengadakan satu perjanjian awam dan swasta untuk memberi tumpuan kepada kategori industri terutama di kawasan merah.

“Kerjasama ini kita akan umumkan apabila kita muktamadkan bentuk kerjasama bersama-sama dengan syarikat industri itu,” katanya pada Sidang Media Mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini.

Khairy Jamaludin berkata, selain industri yang beroperasi di kawasan merah, tumpuan turut diberikan terhadap industri yang berada di lokasi berisiko tinggi.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, hospital swasta akan diberi kebenaran bagi mengadakan rundingan untuk perolehan vaksin Covid-19 dengan syarikat pengeluar.

Bagi tujuan itu kata beliau, satu perbincangan lanjut dengan hospital swasta akan diadakan dalam masa terdekat.

Jelasnya, hospital swasta perlu berdepan realiti bahawa bekalan vaksin di seluruh dunia ketika ini memang tidak mencukupi.

“Cuma saya nak beri gambaran terhadap harapan hospital swasta dalam menguruskan perolehan vaksin kelak. Mereka andaikan bahawa bila kerajaan beri kebenaran untuk membeli vaksin daripada syarikat pengeluar, bekalan akan diterima dengan cepat.

“Justeru, orang berada yang sanggup bayar bagi mendapatkan vaksin secepat mungkin membayangkan mereka bakal menerima suntikan pelalian secara segera.

“Mungkin dalam tanggapan mereka, suntikan pelalian bagi yang mampu bayar ini bakal diterima seawal bulan ini atau bulan depan,” tambahnya. – MalaysiaGazette