Foto Facebook Reezal Merican.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan meluahkan rasa bangga dengan lembaran sukan negara apabila menerima berita-berita kejayaan atlet Malaysia di beberapa kejohanan besar di luar negara sejak seminggu ini.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bermula dengan kemenangan Lee Zii Jia di Kejohanan All England yang menentang pemain ternama, Viktor Axelsen menjadi antara buah tangan istimewa.

Menurut beliau, begitu juga prestasi pasangan Pearly / Thinaah dan Liu Ying/ Peng Soon yang cukup memberangsangkan.

“Hujung minggu ini juga kita menerima berita kejayaan Shah Firdaus dan Azizulhasni Awang di kejohanan Australian Track Cycling Championship 2021 di Brisbane bagi acara Keirin dan Sprint.

“Begitu juga Badminton Terbuka Poland 2021. Pemain muda Malaysia merangkul gelaran juara dalam tiga kategori (perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran).

“Tahniah Ng Tze Yong, Man Wei Chong, Tee Kai Win, Chang Yee Jun, Chia Wie Jie, Choong Hon Jian dan Toh Ee Wei,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya di sini hari ini.

Reezal Merican menambah, ia antara coretan kejayaan sukan negara yang sentiasa menjadi inspirasi serta semangat buat kita semua.

Beliau mengucapkan tahniah kepada atlet dan pasukan kerana kejayaan itu merupakan hasil kerja keras semua yang terlibat termasuklah jurulatih, pengurusan, persatuan sukan kebangsaan, pasukan Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara serta mereka yang bekerja di belakang tabir.

“Saya sentiasa percaya bahawa sukan merupakan medan kebersamaan kita. The moment of unity.

“Saya juga percaya akan kebolehan dan kemampuan atlet kita. Semangat enggan mengalah dan semangat untuk negara menjadi azimat kemaraan mereka untuk mencipta kejayaan demi kejayaan.

“Semoga lebih banyak memori manis dapat kita lakar sepanjang tahun ini khususnya menjelang temasya Olimpik tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette