Pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Abd Aziz bercakap kepada media selepas Forum Demokrasi Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Semua parti-parti politik perlu kembali kepada ideologi perjuangan penubuhan parti masing-masing dengan berpaksikan kestabilan politik tanah air.

Pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Madya Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, kestabilan politik adalah kunci kepada keselamatan negara serta jaminan terhadap kedudukan ekonomi.

“Saya fikir setiap parti politik harus kembali kepada tujuan perjuangan, contohnya, kalau saya dalam bidang undang-undang dan Perlembangaan saya menyeru kepada setiap parti politik itu untuk kembali kepada setiap ideologi ataupun setiap falsafah perjuangan mereka.

“Sama ada Pas atau Bersatu atau PKR atau UMNO sekali pun rujuklah kepada apa yang telah mereka janjikan kepada penubuhan parti politik itu sendiri.

“Jadi, kalaulah perjuangan mereka itu sama, maka mereka harus kembali kepada asas perjuangan itu dan saya fikir apa yang dilakukan oleh beberapa parti politik termasuklah Pas untuk menyatukan terutamanya tiga komponen parti politik besar yang mengandungi orang Melayu ini ialah UMNO, Bersatu dan juga Pas,” katanya ketika ditemui pada Forum Demokrasi di Malaysia di sini hari ini.

Ketika ditanya pandangannya sama ada UMNO perlu memikirkan semula keputusan untuk menarik kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Shamrahayu yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) percaya parti politik di negara ini membawa kepada kepentingan dan kebajikan rakyat.

Katanya, ketika Malaysia berdepan pandemik Covid-19 semua parti politik tidak kira UMNO, Pas dan Bersatu perlu mengambil kira kepentingan rakyat kerana jika tidak ia akan menyebabkan situasi tidak baik kepada negara terutama daripada segi pelaburan.

Tambah beliau, rakyat mahu melihat parti-parti politik bersatu dan yang paling utama adalah bagi menentukan keberkesanan tindakan dalam menambah baik keadaan ekonomi rakyat dan ekonomi negara pada masa sekarang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesan yang akan berlaku di Dewan Rakyat apabila UMNO membuat ketetapan dan mahu agar semua Majlis Tertinggi (MT) yang memegang jawatan dalam Kabinet dan GLC menarik diri daripada kerajaan PN, Shamrahayu memberitahu, ia tidak akan terganggu.

Katanya, daripada segi komposisi jawatan yang disandang dalam kerajaan mahupun GLC tidak akan menjejaskan kedudukan wakil rakyat itu di Dewan Rakyat.

“Meletakkan jawatan dari segi komposisi ahli dewan rakyat itu tidak akan memberi kesan. Cuma dari segi kepercayaan kepada kerajaan itu satu persoalan yang lain.

“Tetapi ia berkaitan sekiranya peletakan jawatan itu juga menunjukkan mereka menarik balik sokongan atau kepercayaan kepada kerajaan, maka ini akan memberikan kesan yang besar kepada komposisi kedudukan kerajaan itu sendiri,” tambahnya. – MalaysiaGazette