Persembahan kebudayaan pada Majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2021 Norma Baharu di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 persembahan dipilih sebagai pengisian kepada program Istana Budaya 2021 Norma Baharu dalam usaha menyemarakkan semula aktiviti kesenian di Istana Budaya (IB).

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam satu kenyataan berkata, ia bagi menyeimbangkan program tradisional dan kontemporari selain membangunkan pelapis seni budaya.

“Ia dapat dicapai melalui perancangan program peringkat kanak-kanak dan dewasa serta meningkatkan penyertaan khalayak tempatan dan luar negara melalui pelaksanaan program secara maya IB Channel,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan Majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2021 Norma Baharu di Panggung Sari, Istana Budaya hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri pada Majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2021 Norma Baharu di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2021.

Antara 24 persembahan terpilih itu ialah Teater Bangsawan Raja Bersiong, Festival Gemelan Gema Gangsa, Konsert Tanahairku bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan, Wayang bersama Konsert Orkestra Tradisional Malaysia, Genius Seni Muzik 10th Anniversary Concert dan dramatari Bakawali.

Di samping itu, Program Lawatan Berpandu (PLB) akan diteruskan melibatkan konsert Colours Of Malaysia dan NSO Lambang Sari Series.

Selain produksi IB, terdapat beberapa program penganjuran pihak produksi luar seperti Konsert 4GS, Konsert Barisan Hadapan Datuk Jamal Abdillah serta teater Sengkela Perak Jabatan Perkhidmatan Awam akan turut dipentaskan.

Walaupun berdepan dengan pelbagai kesulitan yang membataskan aktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, IB berusaha berkongsi inspirasi untuk menaikkan kualiti dan standard industri seni dan budaya.

“Buat masa ini, IB meneruskan kerja-kerja persediaan artistik dan teknikal untuk program-program yang dirancang sepanjang 2021.

“Ia diharapkan kesemua program dapat dilaksanakan secara fizikal atau maya dengan mengambil kira perkembangan semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut Nancy melalui rakaman video ketika perasmian, IB diharapkan dapat meneruskan penganjuran program pementasan yang menyokong kesejahteraan masyarakat.

“Selain memartabatkan seni budaya persembahan, saya berharap Teater Jalan Sehala yang dijangka dipentaskan pada September 2021.

“Ia sekaligus dapat menggalakkan masyarakat untuk terus mengamalkan kebiasaan norma baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, IB telah mencatatkan jumlah pengunjung seramai 13,677 orang meliputi penonton persembahan, kehadiran sidang media dan pelawat IB sepanjang tempoh dibenarkan.

Manakala jumlah pendapatan yang meliputi hasil jualan tiket dan sewaan ruang pula sebanyak RM1.02 juta. – MalaysiaGazette