Mohamad Pazli (kanan) menunjukkan tapak masjid pada pelan induk kawasan perumahan Bandar Baru Air Putih, Balik Pulau di sini hari ini.

BALIK PULAU – Penduduk kawasan perumahan Bandar Baru Air Putih di sini mendesak campur tangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu penyerahan tapak masjid di kawasan tersebut.

Ini susulan tiada tanda penyerahan tapak masjid oleh pihak pemaju walaupun penduduk fasa satu perumahan terbabit telah mendiami kawasan itu hampir 15 tahun.

Mohamad Pazli.

Penasihat Penduduk Bandar Baru Air Putih, Mohamad Pazli Ismail berkata, tapak masjid seluas tiga ekar itu termaktub dalam pelan induk yang diluluskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang membabitkan kawasan perumahan seluas 300 ekar.

Bagaimanapun, Mohamad Pazli memberitahu, sehingga kini pemaju, MTT Properties & Development Sdn. Bhd, tidak menyerahkan tapak berkenaan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) selaku pemegang amanah.

“Sudah banyak kali kami naik turun pejabat kerajaan negeri bagi membincangkan isu ini bersama pihak pemaju tetapi sehingga kini iaitu sudah hampir 15 tahun kami sebagai penduduk masih gagal mendapat sebarang kata putus.

“Kira-kira 3,000 penduduk di sini kecewa dengan pemaju yang bertindak menafikan hak kami ini kerana desakan untuk mendapatkan tapak masjid itu dibuat sejak tahun 2012 lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebahagian penduduk berhimpun sambil memegang kadbod menggesa pemaju serahkan tapak masjid.

Terdahulu sebahagian penduduk perumahan Bandar Baru Air Putih berhimpunan sambil memegang kadbod tertulis ‘kami menuntut hak kami’, ‘tapak masjid hak kami’.

Turut hadir pengerusi persatuan penduduk, Syukor Md Jin serta Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof.

Pada masa sama, Syukor turut menyerahkan memorandum kepada Muhammad Fauzi untuk menjadi perantara bagi menyelesaikan penyerahan tapak masjid itu secepat mungkin.

Syukor (kiri) serahkan memorandum kepada Muhammad Fauzi (kiri).

Tambah Mohamad Pazli, pihaknya bimbang tapak masjid itu digunakan untuk pembangunan lain susulan tapak pembinaan sekolah di kawasan berkenaan kini dibangunkan sebagai pusat komersial.

“Kita tidak mahu tapak masjid ini diubah daripada pelan asal, tambahan pula populasi penduduk Islam di kawasan ini kian bertambah.

“Kami juga berharap kerajaan negeri campur tangan dalam isu ini dan jika perlu kami akan bawa perkara ini ke peringkat atasan,” ujar Mohamad Pazli. – MalaysiaGazette