KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi mengumumkan kerjasama dengan syarikat jenama jam terbesar di Jepun, Casio mulai 1 Mac lalu hingga 28 Februari tahun depan.

Perjanjian penajaan ditandatangani antara pengedar sah Casio Malaysia, Pengarah Eksekutif Marco Corporation, Ong Sim Jeng dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam di Wisma FAM, semalam.

Jam tangan Harimau Malaya dan G-SHOCK edisi terhad menggunakan model asas G-SHOCK GA-2000-1A9, yang hadir dengan warna hitam dan kuning, diilhamkan oleh warna tradisional Harimau Malaya dan diukir dengan logo Harimau Malaya, sekali gus menonjolkan keunikan dan gaya keunggulannya.

Casio hanya mengeluarkan 999 jam tangan Harimau Malaya x G-SHOCK edisi terhad yang tersedia di pasaran; setiap kepingan terukir dengan nombor siri bermula dari 002 hingga 999.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Tajaan FAM, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, tajaan daripada syarikat elektronik gergasi Jepun menerusi pengedar rasminya itu adalah tanda bola sepak negara telah mula mendapat perhatian syarikat-syarikat swasta di dalam Malaysia.

“Keadaan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak Mac 2020 tidak menghalang syarikat-syarikat swasta ini untuk tampil menzahirkan sokongan mereka terhadap skuad bola sepak kebangsaan.

“Menerusi kerjasama ini, saya pasti ia akan menjadi motivasi untuk pemain-pemain skuad Harimau Malaya memulakan kembali kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh akibat pandemik,” katanya.

Jelasnya lagi, sokongan daripada syarikat-syarikat korporat ini adalah sebahagian daripada usaha Datuk Hamidin Mohd. Amin selaku Presiden FAM yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti serta nilai komersial badan induk bola sepak negara itu.

Sebagai simbolik pelancaran jam tangan Casio G-SHOCK edisi terhad ini, Datuk Haji Hamidin telah menjadi individu pertama yang menerima jam tangan G-SHOCK edisi Harimau Malaya dengan nombor siri 001 daripada Encik Tezuka Itsuro.

Jam tangan Harimau Malaya dan G-SHOCK edisi terhad ini dijual pada harga RM579 dan ia turut disertakan dengan baju Harimau Malaya dan G-SHOCK, gelang tangan dan beg kertas.

Jam ini boleh dibeli bermula 1 Jun ini di semua kedai Casio yang sah di seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette