GEORGE TOWN – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menegaskan pihaknya dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memutuskan dasar dan kerangka kerja (framework) untuk hospital swasta membeli vaksin terus daripada pembekal.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, pihaknya sudah memberikan kebenaran kepada hospital swasta dan kerajaan negeri untuk berunding dengan pembekal bagi pembelian vaksin Covid-19 namun perkara itu masih di peringkat awal.

“Kita tak halang kerajaan negeri atau pihak hospital swasta nak beli vaksin namun mereka perlu sedar pasaran vaksin antarabangsa ketika ini sangat terhad sebagai contoh Pfizer-BioNTech hanya dijual kepada kerajaan pusat.

“Mereka mungkin akan menerima vaksin itu hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khairy Jamaluddin memberitahu, pihaknya juga sedang berbincang dengan KKM untuk mempercepatkan penerimaan vaksin kepada pengamal media. – MalaysiaGazette