KUALA LUMPUR – Kedua-dua indeks nilai seunit eksport dan import terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Februari 2021, bulan ke bulan.

Indeks nilai seunit eksport kekal positif bagi enam bulan berturut-turut manakala indeks nilai seunit import menunjukkan trend yang sama mulai Disember 2020 sebagai mana dilaporkan dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri bagi bulan tersebut.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai seunit eksport menunjukkan pertumbuhan positif 1.2% pada Februari 2021, didorong oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+4.8%), minyak galian (+3.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.4%).

Walau bagaimanapun, indeks volum eksport jatuh 3.5% berbanding bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh prestasi lemah indeks minuman & tembakau (-20.2%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-13.6%) dan barang-barang keluaran kilang (-3.8%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan pertumbuhan 14.0% daripada 142.8 mata kepada 162.7 mata.

Menurutnya, berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh 0.6% manakala indeks volum eksport mencatatkan kenaikan dua digit 18.3%.

Mohd Uzir berkata, indeks nilai seunit import bertumbuh 0.8% pada Februari 2021 berbanding bulan sebelumnya.

Pertumbuhan ini disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi indeks minyak galian (+6.3%), barang-barang keluaran kilang (+0.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.3%).

Sementara itu, indeks volum import menguncup 5.3% yang disumbangkan oleh prestasi lemah indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-7.6%), barang-barang keluaran kilang (-7.3%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-6.3%).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Februari 2021 naik 9.8% daripada 143.1 mata kepada 157.2 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import menyusut 1.9% manakala indeks volum import meningkat 14.9%.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan terma perdagangan Malaysia
bertumbuh 0.4% bulan ke bulan daripada 101.1 mata kepada 101.5 mata pada Februari
2021.

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut kekal positif 1.4% daripada 100.2 mata pada Februari tahun lalu. – MalaysiaGazette