Khairy Jamaluddin (kanan) melawat Pusat Kolaborasi Kejuruteraan Sains dan Teknologi (CREST) USM di Bukit Jambul di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan akan mengkaji untuk membatalkan arahan perintah kuarantin wajib terhadap individu pulang dari luar negara sekiranya mereka telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu akan diputuskan berpandukan analisis dan data  Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini kuarantin wajib dikenakan terhadap individu yang memasuki negara susulan kita tidak tahu sejauh mana vaksin tersebut dapat menyekat penularan virus tersebut.

“Kita juga perlu nasihat daripada pakar berhubung keberkesanan vaksin tersebut sebelum membenarkan individu divaksin tidak perlu kuarantin sekiranya pulang dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama pegawai Universiti Sains Malaysia (USM) di Pusat Kolaborasi Kejuruteraan Sains dan Teknologi (CREST) USM, Bukit Jambul, di sini, hari ini.– MalaysiaGazette