BUKIT MERTAJAM – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, pengembala lembu serta isteri yang mengandung lima bulan antara 32 individu yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Pusat Perniagaan Gemilang di sini lewat malam tadi.

Kesemua mereka ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam serbuan yang diketuai Asisten Superintendan Johari Yahya daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bermula jam 12.05 tengah malam.

Sebahagian daripada mereka yang ditahan berhibur di pusat hiburan lewat malam tadi.

MalaysiaGazette difahamkan, lelaki bergelar Datuk Seri berusia 60 tahun itu ditahan bersama 17 individu ketika menyambut hari lahir -ke-40 salah seorang rakan wanita di sebuah bilik khas dalam pusat hiburan tersebut.

Manakala penjaga lembu serta isterinya pula ditahan bersama beberapa individu lain di dalam bilik berasingan.

Wanita mengandung serta suaminya antara ditahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 60 tahun.

“Pusat hiburan ini menempatkan beberapa bilik karaoke dan ada yang menganjurkan sambutan hari lahir.

“Selain itu terdapat juga insiden suami membawa isteri yang sedang mengandung untuk berhibur,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Shafee, kesemua mereka didapati melanggar perintah arahan PKPB manakala beberapa individu turut didapati tidak mendaftar MySejahtera.

Tidak mendaftar MySejahtera antara kesalahan yang turut dikesan.

“Kesemua mereka dibawa ke IPD untuk tindakan kompaun sebelum dibebaskan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette