Pihak yang melakukan pencemaran sisa buangan terjadual mungkin berdepan hukuman denda lebih berat sehingga RM15 juta.- Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Pihak yang melakukan pencemaran sisa buangan terjadual mungkin berdepan hukuman denda lebih berat sehingga RM15 juta, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata ini adalah antara cadangan pindaan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sedang disemak semula kerana kompaun sedia ada terhadap pesalah sangat ringan.

“Kita mahu naikkan denda sehingga RM15 juta serta mengenakan hukuman penjara mandatori.

“Ini kerana apabila berlaku pencemaran, loji air terpaksa ditutup, operator air terpaksa sediakan lori untuk hantar bekalan air kepada penduduk tanpa dicaj tetapi operator perlu tanggung kos berjuta ringgit untuk sediakan bekalan air sepanjang loji ditutup sedangkan pihak lain yang buat pencemaran,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan KASA Peringkat Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata akta itu dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang.

Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menyatakan bahawa tiada seorangpun

a). boleh menempatkan, meletakkan atau melupuskan atau menyebabkan atau membenarkan ditempatkan, diletakkan atau dilupuskan, kecuali di premis yang ditetapkan sahaja, apa-apa buangan berjadual di darat atau ke dalam perairan Malaysia;

b). menerima atau menghantar, atau menyebabkan atau membenarkan diterima atau dihantar apa-apa buangan terjadual di dalam atau di luar Malaysia; atau

c). mentransit atau menyebabkan atau membenarkan atau membenarkan ditransit buangan terjadual, tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah.

Mengikut akta itu, mana-mana orang yang melanggar seksyen ini boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.- BERNAMA