Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim menunjukkan baju yang dipakai Geng Arvind di Kulim, Kedah hari ini.

KULIM – Polis berjaya menyelesaikan lebih 10 kes samun sekitar daerah ini selepas menahan dua lelaki yang dipercayai ahli Geng Arvind kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, ketua kumpulan yang dikenali sebagai Arvind berusia 27 tahun dan rakannya berusia 26 tahun itu ditahan susulan kejadian ragut seorang wanita di hadapan sebuah bank baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim (kiri) menunjukkan gambar mangsa yang cedera akibat diragut Geng Arvind di Kulim, Kedah hari ini.

Katanya, mereka yang ditahan itu juga mengaku terlibat lebih 10 kes samun sebelum ini.

“Dalam serbuan itu, kita merampas sebuah motosikal, serangkai kunci dan topi keledar yang digunakan ketika samun. Mereka dipercayai menggunakan hasil samun untuk membeli bekalan syabu.

“Namun ujian saringan air kencing dibuat mendapati mereka negatif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini hari ini.

Mengulas modus operandi Geng Arvind, Azhar memberitahu, mereka bergerak berdua dengan menunggang motosikal dan mencari peluang meragut di kawasan tumpuan seperti pasar pagi dan pasar raya.

 

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim (dua dari kanan) menunjukkan motosikal yang digunakan suspek ketika melakukan kegiatan ragut baru-baru ini.

“Sasaran mereka adalah wanita memegang beg tangan dan berjalan sendirian. Mereka  juga didapati terlibat dalam kes curi dan pecah rumah.

“Siasatan lanjut mendapati Arvind mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan samun dan dadah, manakala seorang lagi terbabit samun, pecah rumah serta curi,” ujar Azhar.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette