KUANTAN – Pengurusan Stadium Darul Makmur menghadkan seramai 2,128 orang bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara Sri Pahang FC dan Terengganu FC malam ini.

Pengurus Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, jumlah tersebut dipersetujui Bahagian Keselamatan Stadium Darul Makmur dan polis Kuantan melalui perbincangan bersama mengenai perlawanan Liga Super.

Bagaimanapun jumlah had penonton dibenarkan itu dijangka akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19, ujarnya.

“Hanya 2,128 penonton mengikut zon tertentu dibenarkan menonton perlawanan bola sepak di stadium pada esok, (6 April 2021).

“Manakala kanak-kanak 12 tahun ke bawah, warga emas, OKU serta mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium,” katanya.

Tiket perlawanan antara Sri Pahang FC menentang Terengganu FC mula dijual secara talian pada Isnin lalu hanya untuk penyokong tuan rumah.

“Penonton juga diwajibkan membawa kad pengenalan ketika memasuki stadium,” katanya.

Sementara itu, tindakan tegas akan diambil kepada sebarang prilaku melanggar undang-undang dan arahan keselamatan semasa perlawanan itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kawalan keselamatan itu dilakukan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 .

“Kawalan Keselamatan juga bagi mengelakkan daripada insiden tidak diingini berlaku dalam stadium.

“Seramai 77 pegawai dan anggota polis akan mengadakan pemantauan pematuhan SOP sepanjang perlawanan itu berlangsung,” tambah beliau. – MalaysiaGazette