Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol (kiri) menyerahkan penajaan RM2 juta kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat TNB hari ini.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyerahkan tajaan sebanyak RM2 juta kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi menjamin kelangsungan penganjuran Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) yang baru berakhir Sabtu lalu.

TNB meneruskan komitmen itu sekalipun dalam keadaan sukar susulan pandemik Covid-19 yang memaksa liga dilangsungkan secara gelembung sukan sepenuhnya bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekali gus meningkatkan kos penganjuran.

“TNB sentiasa menyokong usaha-usaha memartabatkan sukan hoki dan ini merupakan kesinambungan komitmen kami dalam melahirkan pemain-pemain hoki bertaraf dunia,” kata Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika menyerahkan penajaan RM2 juta itu kepada Presiden KHM, Datuk  Seri Subahan Kamal dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat TNB hari ini yang merupakan sebahagian komitmen penjanaan syarikat utiliti itu kepada sukan hoki negara tahun ini.

TNB telah menjadi penaja utama liga hoki kebangsaan sejak 2006 yang menjadi gelanggang mempertemukan pemain-pemain utama hoki tempatan untuk dipilih dan digandingkan dalam skuad kebangsaan.

Malah, liga TNB-MHL semakin matang sehingga dapat memikat bintang-bintang untuk beraksi sebagai pemain import kepada pasukan-pasukan tempatan sepanjang tempoh liga.

Hanya pada tahun ini, ia terhad kepada pemain tempatan berikutan penutupan pintu sempadan akibat Covid-19.

Sementara itu, Subahan melahirkan kesyukuran dengan komitmen TNB meneruskan tajaan dalam menjamin liga hoki kebangsaan kekal menyemarakkan sukan hoki tanah air sekali pun dalam keadaan sukar.

“Kami (KHM) amat bertuah. Bagi sukan hoki negara kami amat bersyukur kerana TNB tidak pernah mengecewakan, apatah lagi banyak urusan dan aktiviti lain di negara ini, terjejas akibat pandemik,” katanya.

Turut hadir Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek; Ketua (Hubungan Awam dan Dalaman) TNB, Ir. Shah Nawaz Asan Gany dan Pengurus Kanan (Pelaksanaan Jenama) TNB, Wan Hairul Razli Wan Ahmad. – MalaysiaGazette