Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan polis akan menyiasat ketulenan audio perbualan telefon antara dua individu mirip suara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hamzah berkata, ia tidak menjadi kesalahan kepada UMNO dan PKR untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Sudah tentu kita (KDN) akan siasat semua laporan yang telah diberikan kepada kita. Pertama siasat tentang ketulenan, apakah ada perbuatan itu.

“Kalau tidak ada perbualan itu maka bermakna cerita yang dibuat itu adalah fitnah.

“Kalau ceritanya betul, saya dengar juga (audio itu), ceritanya Zahid mengaku bahawa Anwar adalah cikgu, cerita yang betul. Kalau itu betul,” katanya pada sidang media selepas merasmikan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Menteri Perikatan Nasional (PN) itu mengulas mengenai laporan polis yang akan dibuat Pengerusi Majlis Kelab Penyokong Kerajaan Barisan (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim, Anwar Ibrahim, dan Ahmad Zahid terhadap penyebaran audio rakaman tersebut.

Hamzah berkata, dalam rakaman itu Ahmad Zahid mengaku bahawa Anwar sebagai guru politik dan itu tidak langsung menjadi sebarang kesalahan.

“Salah ke Anwar Ibrahim jadi cikgu kepada Ahmad Zahid. Yang dua-dua nak marah ni kenapa. Saya pun hairan juga.

“Salah ke kalau UMNO nak bekerjasama dengan PKR. Kalau salah terpulang kepada mereka. Jadi kalau mereka kata tidak ada, tidak pernah bincang, maknanya tidak benar UMNO nak bersubahat dengan PKR,” tambah beliau.

Semalam, sedutan rakaman audio yang didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular di media sosial.

Rakaman perbualan itu rata-rata menyebut mengenai rumusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada akhir bulan lalu.

Dalam rakaman tersebut, suara mirip Ahli Parlimen Port Dickson itu didengar memuji individu yang memiliki suara seakan Ahmad Zahid kerana berjaya mengendalikan Perhimpunan Agung UMNO.

Selain itu, suara yang didakwa Ahmad Zahid itu berkata, apa yang diucapkan ketika Perhimpunan Agung UMNO hanya bersifat taktikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ya. Tak salah sikit pun PKR nak couple ngan UMNO. Kitaorg okey ja. 3.8 juta ahli tetap setia. So batpa nak malu. Ngaku terus ja lah. Xyah bazir duit gomen nak siasat. 3.8juta ahli tak lari mana aih. Setia amat pada Presiden. U jump they also jump. Dont worry.

Comments are closed.