Reezal Merican (dua dari kiri) pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan pemilihan parti adalah jalan keluar demokratik berbanding mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Katanya, mana-mana individu tidak berhak meminta Ahmad Zahid meletakkan jawatan kecuali ia dibuat melalui pemilihan UMNO sendiri.

“Jika dulu presiden diberi mandat secara demokratik maka biarlah proses demokrasi juga yang menjadi penentu pemilihan sama ada kekal atau ada pemilihan lain.

“Bagi saya pemilihan parti dilihat satu jalan keluar yang cukup demokratik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan yang meminta Presiden UMNO meletakkan jawatan susulan rakaman audio perbualan di antara Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar sejak semalam.

Reezal Merican.

Terdahulu, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas hadir pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, beliau secara peribadinya terganggu dengan rakaman audio perbualan antara dua individu yang didakwa mirip pemimpin tertinggi parti politik berbeza.

Jelas beliau, tidak akan berlaku sebarang kerjasama antara UMNO dan PKR seperti dakwaan dalam perbualan tersebut.

“Sebagai seorang individu yang tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi saya terganggu kerana tidak tahu siapa dalang di sebalik perbualan terbabit malah kandungan perbualan itu turut menjadi tanda tanya.

“Bagaimanapun, saya lega apabila Ahmad Zahid tampil untuk menafikan dakwaan itu sekali gus ia dianggap sebagai tindakan awal untuk mempertahankan dirinya daripada terus diserang.

“Tapi sebagai ahli MKT, saya ingin melihat penegasan yang lebih kuat serta kukuh dan saya juga akan bawa usul ini supaya kita lakukan penegasan yang lebih jelas,” kata Reezal Merican.

Dalam pekembangan sama, beliau juga meminta pemilihan UMNO tidak ditangguhkan memandangkan tempohnya sudah lama berakhir.

Semalam, satu rakaman audio antara dua individu yang didakwa mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid tular di media sosial.

Melalui audio berdurasi 4 minit 17 saat itu kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) menerusi panggilan telefon. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.