Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Sebentar lagi prosiding rayuan penyewelengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sudah masuk hari ke-4 akan bermula.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah.

Ahli Pekan itu didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan, melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.  

Semalam, peguam bela Najib, Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling bahawa Ketua Setiausaha Sulit Najib telah meminta untuk menyelaras pemindahan RM42 juta ke dalam akaun banknya adalah bersifat ‘khabar angin’.

Harvinderjit berkata, keterangan itu boleh dipertikai kerana arahan yang kononnya diterima oleh Ung daripada Allahyarham Datuk Azlin Alias antara Disember 2014 dan Februari 2015 dalam bentuk mesej di aplikasi WhatsApp tidak dikemukakan kepada mahkamah. 

Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter terhempas pada 4 April 2015.

Namun pada masa sama, Ung mendakwa dirinya telah memadam mesej itu dan melupuskan telefon terbabit kerana ingin ‘menghapuskan memori yang menyakitkan’.

Dalam pada itu, Harvinderjit turut memberitahu hanya Low Taek Jho atau Jho Low sahaja dapat memberikan jawapan sebenar yang menjadi pertanyaan umum mengapakah dana SRC sebanyak RM42 juta masuk ke dalam akauan peribadi Najib.

Harvinderjit juga berhujah bagaimana akaun Najib telah dimanipulasi oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil yang kini dikatakan berada di luar negara serta Jho Low dengan bantuan Ung, Terence Geh (pegawai SRC) serta pegawai Ambank, Joanna Yu.

Dana SRC yang dipindahkan sebanyak tiga peringkat iaitu RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, didakwa dipindah daripada akaun SRC dan melalui beberapa akaun lagi sebelum masuk ke akaun Najib.

Prosiding bersambung di hadapan Abdul Karim dan dua lagi panel hakim, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebentar lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pelik yaaa…Bukan setakat JLow…Nik Faisal tu pun pun boleh hilang mcm tu jaa..duk luar negara..dia duk oversea pakai passport apa? Ker dia pun dah jadi beruang??

Comments are closed.