Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. Foto SHAFIY ZUL, 08 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yakin  rakaman audio perbualan telefon antara dua individu mirip suara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 101 peratus tulen.

“Saya cuba mendengar berkali-kali. Sebagai orang dekat dan rapat dengan kedua-duanya, pengecaman suara itu bukanlah menjadi terlalu rumit. Suara orang lain berlakon dengan suara sebenar, saya boleh cam.

“Dan, saya terus terang, setakat yang saya buat pengecaman, saya pasang dekat lebih 10 kali malam, saya yakin 101 peratus, itu adalah suara tulen, bukan orang buat-buat.

“Dan kandungan dan percakapan itu sangat mengecewakan saya sebab pernyataan itu baru sahaja diisytiharkan dalam PAU yang mendorong ahli-ahli perwakilan memberi sokongan berdasarkan fakta-fakta tertentu yang dimaklumkan dalam PAU.

“Suddenly belum 24 jam persidangan berlangsung, jelas perkara lain dilakukan. Jadi saya rasa saya dikhianat sebagai perwakilan.,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di kementeriannya, hari ini.

Tegasnya, UMNO Ketereh yang telah memberi sokongan kepada kepada ucapan presiden UMNO telah dikelirukan.

Annuar menegaskan dakwaan bahawa wujud perhubungan antara Ahmad Zahid dan Anwar sememangnya benar.

“Saya sangat berkeyakinan memang ada perhubungan, perbincangan dan perhitungan, gunalah apa saja malah boleh guna konspirasi antara Presiden UMNO dan PKR.

“Ini termasuk tentang surat yang Presiden UMNO tulis pun dinafikan dikatakan palsu. Kemudian kenyataan akhbar mengenai tuntutan mengadakan sidang Parlimen ‘copy and paste’ juga membuktikan ada muafakat di belakang tabir,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Ahmad Zahid perlu mengambil iktibar daripada tindakan Presiden UMNO terdahulu yang melepaskan jawatan apabila kedudukan mereka memberi mudarat kepada parti.

“Saya berharap presiden berani untuk mengambil tanggungjawab atas yang dia lakukan itu dan bertindak jujur dan ambil tauladan.

“Saya berpandangan Datuk Seri Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) harus juga mengambil langkah sama mencontohi pemimpin UMNO terdahulu tanpa perlu ada sesiapa memaksa.

“Renunglah dengan mata hati (dan) fikirlah apa yang terbaik untuk parti supaya parti tidak terbeban akhirnya,” katanya lagi.

Justeru itu, Ahmad Zahid  digesa untuk melakukan sumpah laknat di masjid bagi membuktikan rakaman audio itu tidak benar.

“Daripada buat penafian begitu, kalau nak menyelesaikan kemelut itu, mungkin Ahmad Zahid boleh mencontohi Najib Razak pergi ke masjid bersama Anwar untuk membuat angkat sumpah (laknat).

“Ini mungkin satu daripada caranya. Kalau nak tunggu polis siasat, nanti tidak serupa dengan apa yang mereka nak, mereka kata polis pula berkonspirasi,” katanya. – MalaysiaGazette