Kumpulan jenayah terancang 'Geng Nicky' dibawa keluar oleh anggota polis selepas didakwa atas pelbagai kesalahan termasuklah penggubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya., Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 APRIL 2021.

PETALING JAYA – Seramai 16 individu ahli Geng Nicky termasuk dua yang tidak hadir didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan terlibat dalam satu kumpulan jenayah terancang sejak tahun 2017.

Tertuduh terdiri daripada 11 warga tempatan dan lima warga China berusia 28 hingga 55 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.

Turut mengaku tidak bersalah adalah dua adik pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee iaitu Liow Wei Kin, 28 dan Liow Wei Loon, 30.

Kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ dibawa keluar oleh anggota polis selepas didakwa atas pelbagai kesalahan termasuklah penggubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya., Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 APRIL 2021.

Mengikut pertuduhan, seramai 15 tertuduh pada 1 Januari 2017 dan 20 Mac lalu di Setiawalk, Persiaran Wawasan Pusat Bandar Puchong, Selangor telah didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Pertuduhan membabitkan tertuduh Lee Han Keat, 43, Lee Kam Onn, 33, Lee Kum Weng, 41, Liow Wei Kin, 28, Liow Wei Loon, 30, Eee Eng Chee, 42, Jovian Joris Tan Chern Chian, 33, Loo Siew Chin, 49, Lim Kang Li, 31, Lei Huang (China), Gu Xinxiong (China), Yujun Wang (China), Jiang Xue (China), Niu Zhe (China) dan Soon Hee, 33.

Kes didakwa di bawah subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah subseksyen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.

Sementara itu, seorang tertuduh, Lim Kim Ming, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membantu satu kumpulan jenayah terancang.

Mengikut pertuduhan, Kim Ming antara 1 Januari 2017 dan 29 Mac lalu di kawasan Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor telah didapati membantu kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Dia dituduh di bawah subseksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah subseksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Dalam pada itu, mahkamah juga mengeluarkan dua waran tangkap, masing-masing terhadap Soon Hee dan Niu Zhe dipercayai isterinya yang gagal dikesan pihak polis sejak 21 Mac lalu.

Waran tangkap itu bagi memudahkan pihak polis mengesan dan menangkap tertuduh sebelum dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mendalangi satu kumpulan jenayah terancang.

Semua tertuduh ditahan mengikut Seksyen 13(1) dan Seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana penglibatan mereka dalam satu kumpulan jenayah terancang.

Terdahulu barisan pendakwa raya, Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa Kunyalam, Rohaiza Abd Rahman, Mohd Izharudin Alias dan Mohd Farhan Aliff Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh kerana kes itu melibatkan keselamatan.

Timbalan Pendakwaraya, Mohamad Mustaffa juga memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam tempoh tiga bulan bagi melengkapkan siasatan.

Kesemua 14 tertuduh yang hadir di Mahkamah Sesyen hari ini akan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Barisan peguam, Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir, Datuk Krishnan Nair, M. Hafiz Zainol Abidin, Salehuddin Salleh dan Datuk Jensen Chua membantah permohonan tanpa jaminan dan tempoh tiga bulan untuk proses pemindahan ks terbabit.

Bagaimanapun hakim menolak permohonan mereka dan memutuskan pemohon gagal membuktikan pengecualian kes untuk membenarkan jaminan.

Hakim juga membenarkan permohonan peguam bagi membolehkan tujuh tertuduh untuk membuat laporan polis kerana mereka mendakwa dipukul ketika berada dalam tahanan polis.

Hakim menetapkan 22 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Seramai 16 ahli Geng Nicky didakwa di mahkamah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ada juga lawyer yang nak bantuk penjenayah ni..Kalau lawyer itu Islam memang memalukan kerana penjenayah ini telah menyusahkan ramai orang.Tidak perlu dibebaskan atau dilepaskan.

Comments are closed.