Kumpulan jenayah terancang 'Geng Nicky' dibawa keluar oleh anggota polis selepas didakwa atas pelbagai kesalahan termasuklah penggubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya., Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 APRIL 2021.
PETALING JAYA – Seramai 16 individu termasuk dua adik kepada Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kesemua mereka antara 68 individu yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mac lalu kerana terlibat dalam satu kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng Nicky.
Pertuduhan akan dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Terdahulu kesemua 16 individu termasuk lima wanita ahli geng itu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira jam 8 pagi tadi diiringi anggota polis.
Sebelum ini, seramai 68 individu yang dipercayai ahli Geng Nicky yang dikaitkan dengan Nicky Liow ditahan.
Kesemua individu tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah penggubahan wang haram.
Dalam serbuan itu, serbuan tersebut sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru.
Pihak polis juga telah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4,053,809.49 dan 35 unit kenderaan bernilai RM8,863,759.00 melibatkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia.
Dalam pada itu, usaha mengesan ahli perniagaan itu yang juga pengasas Winner Dynasty Group yang beralamat terakhir di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor giat dilakukan.
Dia dikehendaki bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.
Soon Hee pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia yang sedang bertugas di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur, empat tahun lalu. – MalaysiaGazette