KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dan mereka dijangka direman esok.
Sumber berkata, Azeez telah dipanggil SPRM untuk membantu siasatan tengah hari tadi, sebelum ditahan kira-kira jam 4 petang.
Kedua-dua mereka dipercayai ditahan bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Dalam pada itu, sumber sama mendakwa beberapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal didakwa Jumaat ini.
“Ada beberapa nama, dikaitkan dengan pelbagai salah laku ketika berada dalam tampuk kerajaan. Nantikan kejutan Jumaat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu lelaki berusia dalam lingkungan usia 60-an.
SPRM juga mengesahkan mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, petang tadi.
“Mereka dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman esok,” menurut kenyataan itu.
Laporan RCI berkenaan sebelum ini membangkitkan beberapa isu berkaitan pengurusan dan kedudukan kewangan TH, termasuk perkara yang berlaku semasa Azeez menerajui institusi itu. -MalaysiaGazette
















