Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melawat reruai Karnival Mikro BSN MADANI di Kuala Lumpur hari ini. -Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR –  Seramai 69 usahawan mikro daripada pelbagai latar belakang dan budaya yang diketengahkan Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ diangkat sebagai simbol kecekalan rakyat di negara ini membina sumber pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan menyumbang kepada komuniti.

Kempen berlangsung sepanjang bulan ini melabuhkan tirainya menerusi Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 & Karnival BSN Mikro MADANI yang berlangsung di Wisma BSN di Jalan Ampang.

Karnival itu menghimpunkan usahawan mikro yang menerima sokongan BSN menerusi pelbagai pameran dan aktiviti sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mengenali kisah serta produk yang dihasilkan usahawan berkenaan.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kisah perjalanan usahawan mikro BSN merupakan kejayaan yang wajar diraikan kerana mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan.

Menurut beliau, seramai 69 usahawan yang diketengahkan itu mewakili hampir 180,000 usahawan mikro BSN sekali gus membuktikan komitmen institusi berkenaan dalam memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negara.

“Usahawan mikro adalah nadi pembangunan ekonomi negara yang melambangkan semangat keusahawanan rakyat Malaysia. Dengan pelbagai sokongan dan inisiatif kerajaan, saya yakin usaha-usaha ini dapat membantu mereka membina perniagaan yang lebih mampan,” katanya ketika hadir pada karnival berkenaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ bertujuan meraikan kisah usahawan serta impak positif keusahawanan terhadap komuniti.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melawat reruai Karnival BSN Mikro MADANI ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Wisma BSN, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2026.

 

Katanya, sokongan BSN kepada usahawan mikro bukan sekadar menyediakan pembiayaan, sebaliknya turut membantu mereka mengembangkan perniagaan dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada masyarakat sekeliling.

Dalam perkembangan sama, hampir 5,000 cup sleeve edisi khas bertemakan batik yang diinspirasikan daripada motif batik uniform teller BSN telah diedarkan oleh usahawan terpilih kepada pelanggan mereka di seluruh negara.

Lebih menarik, reka bentuk cup sleeve berkenaan dihasilkan menerusi sentuhan kreatif pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam yang merupakan Sekolah Angkat MADANI BSN 2025.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hadir pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Wisma BSN, Kuala Lumpur.

Menurut Mujibburrahman, inisiatif itu bukan sahaja menghubungkan bidang keusahawanan dengan kreativiti malah membuka ruang kepada pelajar berkongsi bakat dan hasil usaha mereka dengan masyarakat.

Pada masa sama, BSN turut memperkukuh pembangunan usahawan dan kewangan sosial menerusi program literasi kewangan yang diadakan khusus untuk usahawan OKU daripada MyOKU Preneur serta usahawan desa di bawah KEMAS, Khadijah Artisans dan USAHANITA.

BSN menegaskan, komitmennya untuk terus menyokong usahawan mikro pada setiap peringkat perjalanan mereka, termasuk membantu meningkatkan kelestarian perniagaan serta memperkukuh ekonomi dan komuniti setempat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

BSN pemangkin peniaga bangkit semula, kembang perniagaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here