KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr M Saravanan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempertahankan dirinya berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan isu pengambilan pekerja asing.
Dalam surat bertarikh 24 Ogos lalu, Saravanan mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaksa dua individu yang ditahan dalam kes berkenaan untuk membuat kenyataan yang mengaitkan namanya.
Ahli Parlimen Tapah itu menegaskan, beliau dan keluarganya tidak pernah terbabit secara peribadi dalam urusan pengambilan pekerja asing ketika beliau menjadi Menteri Sumber Manusia.
Saravanan turut menjelaskan proses pengambilan pekerja asing ketika itu dibuat melalui sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS), sebelum syarikat yang layak dikemukakan kepada pusat sehenti khas (OSC).
“Untuk makluman Datuk Seri, saya sebagai Menteri tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai syarikat-syarikat yang memohon dan dipilih untuk menghadiri sesi temuduga,” tulisnya.
Menurutnya, dua ahli perniagaan, Syed Amirul dan Siva Ganesan, ditahan pada Ogos 2022 berkaitan proses pengambilan pekerja asing.
Saravanan mendakwa kedua-dua individu berkenaan ditekan untuk membuat pengakuan bagi mengaitkan namanya.
Beliau berkata, Syed Amirul dibebaskan selepas empat hari selepas didakwa bersetuju mengaitkan namanya, selain mendakwa isterinya turut diugut untuk ditahan.
Sementara itu, Saravanan mendakwa Siva Ganesan direman selama enam hari kerana enggan memberikan kenyataan yang mengaitkannya, walaupun individu itu merupakan pesakit kronik dan perlu menjalani rawatan dialisis.
Beliau berkata, Syed Amirul dan isterinya kemudian membuat Akuan Bersumpah pada 22 September 2022 bagi menjelaskan perkara tersebut, dengan salinannya turut diserahkan kepada SPRM.
Menurut Saravanan, pada 26 Jun 2023, SPRM memulangkan wang jaminan RM10,000 dan mengesahkan kes itu telah selesai tanpa sebarang siasatan terhadapnya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa Syed Amirul dan isterinya dipanggil semula untuk soal siasat pada November 2025 sebelum membuat satu lagi Akuan Bersumpah bagi menegaskan semula dakwaan bahawa beliau sebelum itu dipaksa mengaitkan nama Saravanan.
Syed Amirul kemudian meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
“Kini, pihak SPRM dilihat cuba meneruskan tindakan terhadap saya pada ketika saksi utama tidak wujud lagi,” tulisnya.

Saravanan turut menegaskan tiada wang tunai atau bahan bukti material yang dikaitkan dengannya dirampas, selain mendakwa beliau tidak pernah mengeluarkan arahan kepada mana-mana pegawai kerajaan berkaitan pengambilan pekerja asing.
Beliau berkata, beberapa perbincangan dengan Anwar telah diadakan sejak November 2025 dan mendakwa Perdana Menteri ketika itu memberi jaminan bahawa tiada tindakan akan dikenakan terhadapnya.
“Namun begitu, saya amat kesal kerana SPRM secara tiba-tiba telah memulakan tindakan undang-undang dan siasatan terhadap saya,” tulisnya.
Saravanan turut meminta Perdana Menteri mengambil tindakan sewajarnya dan mendakwa kes berkenaan tidak berasas, selain menyifatkan tindakan terhadapnya sebagai satu bentuk penganiayaan yang mempunyai motif jahat.
Difahamkan surat ini tular sejurus selepas laporan media bahawa SPRM mengesahkan akan mendakwa seorang bekas menteri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi bahawa bekas menteri yang bakal didakwa itu ialah Saravanan. – MalaysiaGazette
















