KUALA LUMPUR – Kebebasan bersuara perlu diberikan kepada semua mahasiswa walaupun pandangan yang dilontarkan bersifat kritikal terhadap kerajaan atau kempimpinan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mana-mana mahasiswa yang dikenakan tindakan oleh pihak universiti kerana mengkritik beliau sekali pun, patut dibebaskan mulai esok.
“Mulai esok, mereka yang kritik PM sekalipun patut dilepaskan, dibebaskan daripada apa-apa kes universiti kecuali kes berkaitan polis.
“Kebebasan bersuara ini patut diberikan kepada para mahasiswa walaupun suara itu kritis,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menjadi moderator pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 3 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya di sini malam ini.

Dalam wacana berkenaan, beliau menegaskan universiti perlu menjadi medan pemikiran kritis yang membolehkan mahasiswa mengemukakan pandangan secara bebas tanpa kekangan yang tidak wajar.
Menurutnya, walaupun terdapat mahasiswa yang mungkin dipengaruhi atau menjadi ‘alat’ kepada golongan tertentu, ruang untuk mereka bersuara tetap perlu diberikan.
Beliau berkata, kebebasan akademik juga perlu disertai tanggungjawab untuk mempertahankan pandangan dengan hujah yang kukuh dan berasaskan prinsip akademik.
Pada masa sama, Anwar berpandangan peraturan Hal Ehwal Pelajar (HEP) perlu dilonggarkan segera bagi memberi lebih ruang kepada mahasiswa menjalankan kegiatan serta menyuarakan pandangan.
Katanya, langkah berkenaan tidak semestinya perlu menunggu pindaan akta diselesaikan sepenuhnya kerana sebahagian perubahan boleh dilaksanakan melalui tindakan pentadbiran.
Beliau turut menjelaskan kes yang melibatkan polis perlu kekal ditangani melalui saluran penguatkuasaan berkenaan.
Dalam pada itu, mengulas desakan dan wacana penambahbaikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Anwar berkata sebarang pindaan undang-undang tidak seharusnya digunakan untuk memperkukuh kuasa kerajaan atau menteri.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan bersedia mengurangkan pemusatan kuasa di kementerian bagi memberikan lebih banyak kelonggaran serta autonomi kepada universiti, khususnya dalam aspek pentadbiran dan akademik.
“Sebarang pindaan ini tidak boleh digunakan untuk memperkukuh kuasa menteri. Yang sedikit akan mengurangkan kuasa kerajaan itu sendiri, kuasa menteri atau kementerian untuk memberikan sedikit kelonggaran kebebasan kepada universiti,” ujarnya.
Forum bertemakan Pendidikan Masa Depan Negara dan AUKU itu menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Presiden Akademi Sains Malaysia, Tengku Datuk Mohd Azzman Shariffadeen sebagai panel. -MalaysiaGazette
















