PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan (MOF) direman selama tujuh hari bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalanakan siasatan susulan pendedahan dan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 2 September itu dikeluarkan Majistret, Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini.
Kedua-dua individu terbabit ketika dibawa keluar dari mahkamah kelihatan tenang sebelum dibawa semula ke Ibu Pejabat SPRM untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, peguam yang mewakili kedua-dua individu terbabit, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, pihaknya berhujah bahawa perintah reman kali ini tidak sepatutnya dikenakan kerana siasatan terdahulu dan siasatan semasa dipercayai melibatkan tempoh serta isu yang berkaitan.
Beliau berkata, anak guamnya pernah direman pada 2018 bagi siasatan berkaitan TH.
“Kami berhujah bahawa reman ke atas mereka sepatutnya tidak dikenakan kerana beliau telah ditahan pada 2018 dalam siasatan melibatkan Tabung Haji.
“Ini merupakan kali kedua beliau dikenakan tahanan reman,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak pembelaan turut membangkitkan isu ‘double jeopardy’ dalam hujah mereka mengambil kira siasatan terdahulu yang berlangsung hampir 10 hari.
Katanya, tempoh siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH pula merangkumi tempoh antara 2013 hingga 2018.
“Kalau siasatan perlu dijalankan, mahkamah boleh memanggil anak guam kami pada bila-bila masa untuk memberikan keterangan.
“Sekiranya terdapat pertuduhan, beliau juga boleh didakwa. Tetapi, mahkamah tetap membenarkan tempoh reman selama tujuh hari,” ujarnya.
Abu Bakar berkata, kedua-dua anank guamnnya dijangka hadir ke mahkamah pada 2 September ini bagi prosiding lanjut berkaitan kes tersebut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya bersedia untuk memberikan sepenuhnya kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan berkenaan.
“Kami berhujah bahawa tidak sepatutnya ada reman kerana mereka bersedia untuk berkongsi dan memberikan semua maklumat kepada SPRM.
“Tiada kekangan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan walaupun tanpa reman,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, pihaknya tidak pernah mendakwa wujud sebarang kesalahan atau penyelewengan dilakukan oleh anak guam mereka itu.
“Kami tidak pernah menyebut apa-apa mengenai kesalahan atau penyelewengan.
“Kami telah menyatakan perkara itu dan baru-baru ini memaklumkan secara rasmi kepada Ketua Audit Negara bahawa tiada penyelewengan,” katanya.
Terdahulu, SPRM mendapat perintah untuk menyambung reman selama empat hari terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH bergelar Tan Sri.
Pada Jumaat lalu, bekas CEO TH terbabit direman tujuh hari berkaitan laporan RCI TH dengan tempoh remannya tamat hari ini.
SPRM sebelum ini sudah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu. – MalaysiaGazette
















