KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan seolah-olah kerajaan tidak mengawal aktiviti perjudian atau meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di Kedah.
Lantaran itu, MOF menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah berhubung isu lesen judi yang dilaporkan media baru-baru ini mengelirukan dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Menurut kementerian itu, sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut melibatkan Pas, tidak pernah ada usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.
Berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) pada 2020 memutuskan mengurangkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) kemudiannya memutuskan untuk meningkatkan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.
“Selepas Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal adalah membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023,” katanya dalam kenyataan.
MOF turut menegaskan Kerajaan Madani tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu serta tidak menambah bilangan kedai perjudian.
Sebaliknya, jumlah lesen dan permit yang berkuat kuasa kekal berdasarkan kelulusan lesen sedia ada sejak 1990-an.
Menurut kementerian itu, langkah kawalan turut dilaksanakan dengan menetapkan syarat ketat kepada pemegang lesen perjudian.
“Kerajaan terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette
















