KUALA LUMPUR – Seorang bekas menteri dijangka didakwa atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini esok.
Menurut sumber, bekas menteri berkenaan dipercayai akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Untuk makluman, Seksyen itu meliputi kesalahan meminta, menerima, memberi, menjanjikan atau menawarkan suapan.
Jika disabitkan, kesalahan berkenaan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Media melaporkan, dalam satu jemputan SPRM memaklumkan pihaknya telah mendapat persetujuan untuk mendakwa bekas menteri berkenaan.
Bagaimanapun, SPRM tidak mendedahkan identiti individu itu atau memperincikan pertuduhan yang akan dihadapi.
Butiran lanjut berhubung kes serta pertuduhan dijangka diketahui ketika prosiding di mahkamah esok.
Pertuduhan itu dijangka dibuat sehari selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana didakwa gagal mengisytiharkan aset kepada SPRM.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Bera itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selain berikrar akan membersihkan namanya mengikut lunas undang-undang.
Ismail Sabri dituduh mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membabitkan dakwaan kegagalan mengisytiharkan aset bernilai jutaan ringgit dalam mata wang tempatan dan asing serta lima jongkong emas. -MalaysiaGazette
















