KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan menafikan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau diberi layanan istimewa ketika siasatan kes Janawibawa melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengarah KCJ Engineering Sdn. Bhd., Datuk Seri Azman Yusoff, 54, bagaimanapun mengaku beliau tidak dikenakan tahanan reman mahupun didakwa di mahkamah atas pertuduhan meminta atau menerima rasuah.
Menjawab soalan balasan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik bahawa beliau melakukan kesalahan dan boleh didakwa meminta atau menerima rasuah kerana terdapat bukti mengenainya, Azman menyatakan tidak pasti.
Saksi pendakwaan ke-27 itu bagaimanapun bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa beliau hadir di mahkamah sebagai saksi kes untuk menyelamatkan dirinya daripada menghadapi pertuduhan.

Dalam keterangannya, Azman mengaku memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan kes Janawibawa dijalankan.
Bagaimanapum saksi tidak bersetuju bahawa beliau menyalah guna atau menjual nama Muhyiddin untuk meyakinkan kontraktor yang memohon projek di bawah program berkenaan.
Peguam: Berapa kali Datuk Azman dipanggil untuk siasatan?
Saksi: Tiga atau empat kali.
Peguam: Adakah Datuk Azman diberi jaminan mulut?
Saksi: Tiada.
Peguam: Setuju atau tidak, walaupun disiasat atas kesalahan serius meminta dan menerima rasuah, anda diberi layanan istimewa oleh SPRM?
Saksi: Tidak setuju.
Peguam: Saya cadangkan awak sebenarnya terima rasuah dari kontraktor?
Saksi: Tidak setuju.
Bagaimanapun, Azman mengakui bahawa KCJ Engineering pernah menerima RM1 juta daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd.
Azman menyatakan demikian sewaktu sesi pemeriksaan balas pada perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri yang menghadapi tujuh pertuduhan termasuk tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Pada prosiding sebelum ini, Pengasas Nepturis Sdn Bhd, Lian Tan Chuan turut dikenali sebagai TC Lian mengakui bahawa Azman ada meminta sumbangan untuk Bersatu dan beliau kemudian memberikan RM1 juta selepas Nepturis memperoleh projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor bernilai RM141 juta.
Saksi selanjutnya bersetuju bahawa hingga kini, aduan terhadapnya masih hidup (aktif) kerana beliau belum menerima surat NFA (tiada tindakan lanjut) terhadap aduan yang dibuat dalam kes itu.
Peguam: Saya katakan jika awak tidak jadi saksi dalam kes terhadap Tan Sri Muhyiddin, anda akan dituduh di mahkamah?
Saksi: Tidak setuju.
Peguam: Sebab itu awak bekerjasama dengan SPRM supaya tidak dituduh?
Saksi: Tidak setuju.
Azman turut menafikan cadangan Hisyam bahawa semakin banyak saksi itu mempelawa (kontraktor-kontraktor) supaya memohon projek di bawah Program Janawibawa, semakin banyak wang diterima KCJ Engineering dan syarikat Addeen Engineering (dimiliki adik iparnya).
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung 1 September ini.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















